Iklan

Jangan rampas taman kami!

Hasnoor Hussain7 years ago14th Aug 2017Foto
Chuan rimba kiara tmihasnoor 1
Chuan Ah Kau menunggu burung muncul pada pemidang tilik kameranya di Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur. Chuan seorang peminat fotografi burung. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 2 Ogos, 2017.
Iklan

Sosok lelaki tua itu selalu kelihatan di Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Hampir setiap petang dia yang tinggal di Damansara Jaya memandu ke taman itu.

Tujuannya satu: merakamkan foto burung-burung dan hidupan liar yang ada di kawasan taman itu. Selebihnya, di taman itulah dia bertemu dengan kenalan yang berkongsi minat yang serupa dan berjumpa dengan kawan baru.

Namanya Chuan Ah Kau. Umurnya 74. Kecintaannya pada alam tumbuh dalam dirinya sejak kecil lagi – berakar pada hari-hari zaman kanak-kanaknya yang dia habiskan di kawasan lombong bijih timah di Kamunting, Perak.

Berenang di lombong. Menangkap ikan di sungai. Menerbangkan layang-layang atau mengejar bola di padang. Chuan dan kawan-kawan juga sekali-sekala meredah belukar memanjat naik Bukit Larut yang puncaknya ternampak dari tempat dia bermain.

Semasa remaja, dia menyertai kem bina diri di Outward Bound School di Lumut, Perak dan melalui latihan lasak selama 25 hari. Dia juga pernah mewakili pasukan bolasepak yang memenangi Piala Perak pada 1962.

Minatnya kepada segala sesuatu yang mencabar itu terbawa-bawa apabila dia berhijrah ke Petaling Jaya setelah berkerja di sebuah kilang tayar. Biarpun kini dia meniti usia emas, Chuan masih aktif dan terus meneroka keindahan alam ciptaan Tuhan.

Pada Jun 2016, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur meluluskan pembangunan pangsapuri mampu milik setinggi 29 tingkat serta apartmen mewah lapan blok di atas sebidang tanah seluas 4.86 hektar yang membelah Taman Rimba Kiara.

Taman itu sebelum ini diperuntukkan sebagai kawasan lapang awam di bawah draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.

Satu kajian yang dilakukan oleh Kuliah Seni Bina dan Rekabentuk Alam Sekitar Universiti Islam Antarabangsa yang membandingkan kawasan hijau dan kawasan binaan di Kuala Lumpur menunjukkan peratusan kawasan hijau di ibu negara merosot hampir 50 peratus dalam masa dua dekad terkini. – 3 Ogos 2017.

Iklan
Iklan