Iklan

Jambatan di atas Sungai Nenggiri

Hasnoor Hussain6 years ago4th Nov 2018Foto
Pulau stelu bridge 20150422 tmihasnoor 004
Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) melintasi jambatan sementara untuk menyeberangi Sungai Nenggiri di Pulau Stelu, Gua Musang. Jambatan ini hanya boleh dilalui secara sehala. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 November, 2018.
Iklan

MUSIM tengkujuh mula melanda Pantai Timur Malaysia. Suasana suram sahaja di Pulau Stelu yang terletak 30km dari Gua Musang, Kelantan. Penduduk kampung bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sebarang kemungkinan akibat cuaca buruk.

Empat tahun lepas, arus kuat yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa menghanyutkan kayu-kayu balak, lalu terapung di sepanjang sungai dan tersangkut dibawah jambatan yang menghubungkan kedua-dua belah Pulau Stelu.

Kayu balak menyumbat bawah jambatan hingga bertukar menjadi empangan, melimpahkan air Sungai Nenggiri dan menenggelamkan Pulau Stelu. Seramai 200 keluarga terpaksa berteduh di masjid kampung itu yang terletak di akwasan lebih tinggi.

Pada jam 2.30 petang, 23 Disember 2014 dari masjid itu penduduk kampung melihat jambatan yang dibina pada pertengahan 1980-an itu runtuh.

Setahun kemudian, Asrul Fikri Mahmud atau lebih terkenal dengan nama Yo berdiri di hujung sebelah jambatan untuk mengawal lalu lintas. Jambatan sementara itu hanya mampu menampung laluan sehala.

Tugas Yo ialah memastikan kenderaan dari Gua Musang berhenti jika terdapat kenderaan dari arah bertentangan lalu di atas jambatan.

Manakala di hujung sebelah lain, sekumpulan remaja akan memberi isyarat jika tiada kenderaan datang. Tidak kira siang atau malam, hujan atau panas, mereka akan memastikan jalan Gua Musang-Jelawang itu selamat untuk dilalui kenderaan. Anak-anak muda di Pulau Stelu ini bergilir-gilir mengawal lalu lintas di jambatan itu.

Ketika musim hujan, paras air sungai naik dan menenggelamkan jambatan sementara untuk berjam-jam lamanya. Yo dan rakan-rakannya akan menghentikan mana-mana kenderaan yang mahu menyeberangi jambatan. Ada juga beberapa pemandu yang akan menghulurkan tip kepada mereka. – 4 November, 2018.

Iklan
Iklan