Iklan

Perjalanan akhir Zainuddin Maidin

Hasnoor Hussain6 years ago15th Dec 2018Foto
Zainuddin maidin 20181215 tmihasnoor 014
Balu Allahyarham Zainuddin Maidin, Zaiton Zainol Abidin ditenangkan ahli keluarga ketika majlis pengebumian tokoh besar dunia kewartawanan Malaysia itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Disember, 2018.
Iklan

BEKAS menteri penerangan Zainuddin Maidin meninggal dunia pada Jumaat kerana serangan jantung selepas sebulan terlantar di hospital menjalani rawatan masalah paru-paru. Umurnya 79 tahun.

Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya pada 12 November sebelum dipindahkan ke Hospital Serdang.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Zam bagaimanapun lebih dikenang sebagai seorang wartawan yang disegani.

Zam mula jadi wartawan ketika umurnya 18 tahun. Beliau bermula sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di Kedah pada 1951 sebelum diserap sebagai wartawan tetap 10 tahun kemudian.

Beliau pernah ditawarkan kerja di Berita Harian, sebuah lagi akhbar berbahasa Melayu saingan, tetapi hatinya tetap dengan Utusan.

Dari era jawi Utusan Melayu sehinggalah kepada zaman rumi Utusan Malaysia, Zam membina kerjaya sebagai ketua pemberita, pengarang berita, penolong pengarang, pengarang dan akhirnya jadi ketua pengarang Kumpulan Utusan pada November 1982.

Namun susulan kontroversi laporan Utusan pada 17 September 1992 mengenai ucapan Dr Mahathir Mohamad, ketika itu juga perdana menteri, pada Sidang Kemuncak Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Jakarta, Indonesia, Zam tersingkir dari jawatannya.

Laporan kontroversi itu dibuat ketika Zam bercuti di London dan dikendalikan timbalan ketua pengarang.

Zam digantikan oleh Johan Jaafar.

Johan mengenang Zam sebagai wartawan tulen sehingga ke akhir hayatnya.

“Beliau memperjuangkan banyak perkara, tentang ekstremisme agama, cauvinisme, serta sikap dan nilai yang dianggapnya mundur dan merugikan orang Melayu,” kata bekas ketua pengarang kumpulan Utusan itu.

Zam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, Hulu Klang, Selangor pagi tadi.

Ratusan ahli keluarga dan sahabat handai mengiringi perjalanan akhirnya ke tempat persemadian.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Surau At-Tarbiah, Taman Melawati, disertai orang kenamaan termasuk Dr Mahathir.

Zam meninggalkan seorang isteri, Zaiton Zainol Abidin yang lumpuh sejak 1995 serta empat anak.

Al-Fatihah. – 15 Disember, 2018.

Iklan
Iklan