Suka duka Malaysia 2018
Iklan
MENJELANG berakhirnya 2018 dan mula memasuki 2019, kita menelusuri suka duka Malaysia sepanjang tahun penuh sejarah ini.
2018 menyaksikan demokrasi rakyat mendapat tempat di Malaysia apabila pertama kali dalam sejarah negara berlaku perubahan kerajaan Persekutuan.
Dr Mahathir Mohamad menerajui Pakatan Harapan untuk menyingkirkan Umno dan Barisan Nasional yang dipimpin Najib Razak, kekalahan pertama sejak mereka mula mentadbir negara 60 tahun lalu.
Tahun ini juga menyaksikan sejarah tercipta apabila Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor serta beberapa sekutu rapat mereka didakwa di mahkamah kerana pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram, korupsi dan pecah amanah.
Najib adalah bekas perdana menteri Malaysia pertama yang diheret ke mahkamah kerana salah laku pentadbiran.
Selain itu, antara peristiwa penting lain yang mencorak sejarah negara 2018 adalah pembebasan bakal perdana menteri kelapan Anwar Ibrahim daripada penjara, himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, dan kematian hero negara Muhammad Adib Mohd Kassim.
The Malaysian Insight membawakan sorotan terpilih bergambar 2018 dirakam pasukan jurugambar kami: Afif Abd Halim, David ST Loh, Hasnoor Hussain, Kamal Ariffin, Najjua Zulkefli, Nazir Sufari, Seth Akmal dan diketuai Zainal Halim. – 29 Disember, 2018.