Iklan

Syurga orang terpinggir di Pulau Berhala, Sandakan

Irwan Majid5 years ago17th May 2019Foto
Berhala
Dahulunya kawasan perlindungan pesakit kusta zaman penjajah, Pulau Berhala kini adalah komuniti nelayan dengan lebih 3,000 orang yang bergantung kepada laut sebagai sumber pendapatan utama mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 17 Mei, 2019.
Iklan

PULAU Berhala adalah “syurga” seluas 5 hektar terletak di Sandakan, yang berpotensi luas menjadi kawasan tumpuan pelancong, tetapi sejarah panjangnya adalah manifestasi kehidupan terpinggir- pesakit kusta, tahanan perang dan mangsa konflik bersenjata.

Kawasan padat hutan itu menjadi penempatan pesakit kusta dan pusat tahanan perang ketika penjajahan Jepun era 1940-an.

Apabila konflik bersenjata meledak di selatan Filipina pada tahun-tahun 1970-an, Pulau Berhala menjadi tempat perlindungan pelarian yang diberikan dokumen 1MM13, membolehkan mereka meneruskan kehidupan di Sabah.

Kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan.

Selepas 20 tahun, ramai antara mereka sudah jadi warganegara Malaysia, hasil projek sulit “dapat warganegara untuk undi” yang dikenali sebagai “Projek IC”.

Pendatang haram, warga yang dicurigai dan mereka tiada kewarganegaraan sudah lama jadi beban masalah di Sabah, kini kerajaan persekutuan berusaha mengatasinya, termasuklah cadangan memberikan mereka pengenalan diri yang bersesuaian.

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal banyak kali meluahkan kebimbangan yang “pendatang” ini tidak lagi diterima negara asal kerana sudah terlalu lama menetap di negeri itu.

Pada masa sekarang, 60% daripada 3,400 penduduk pulau itu adalah warganegara Malaysia, sementara 40% lagi adalah pemegang 1MM13 dan tiada kewarganegaraan.

Kanak-kanak warga Malaysia dibenarkan menghadiri sekolah kerajaan terletak di tanah besar Sabah. Tidak ada sekolah di pulau itu.

Mereka bangun seawal jam 4.30 pagi untuk ke sekolah menggunakan bot yang akan berlabuh berhampiran pasar besar Sandakan.

Bagi mereka yang terlewat bangun dan terlepas bot, harga perlu dibayar terlalu mahal.

Ibu bapa perlu mengupah nelayan untuk menghantar anak-anak mereka yang terlewat dengan sebotol petrol dan minyak motor.

Malah, ada kalangan pelajar yang membawa pakaian tambahan supaya mereka boleh tidur di bandar Sandakan, menjimatkan berbanding membayar tambang bot.

Anak-anak pendatang pula tidak dibenarkan ke sekolah kerajaan, maka mereka dididik tentera yang berkawal di pulau itu.

Tentera ini jadi guru kepada anak-anak pendatang, mengajar tulis baca.

Tidak ada kemudahan asas air dan elektrik di pulau ini, dan kebanyakan penduduk bergantung hidup kepada telaga yang dikorek.

Hanya beberapa rumah dilengkapi dengan penjana elektrik, itupun bergantung kepada bekalan minyak untuk menggerakkannya. – 17 Mei, 2019.

Iklan
Iklan