Iklan

Nasib Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh

Najjua Zulkefli5 years ago12th Jun 2019Foto
Orang asli bateq tribe1
Seorang wanita Orang Asli suku Bateq di dalam hutan dekat kampung bersebelahan jalan masuk ke Taman Negara Kuala Koh di Kelantan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 12 Jun, 2019.
Iklan

TRAGEDI yang menimpa Orang Asli suku Bateq di Kg Kuala Koh terbongkar selepas 14 daripada mereka meninggal dunia akibat radang paru-paru awal bulan ini. Kesemuanya didakwa mengalami kesukaran untuk bernafas.

Kerajaan masih belum dapat menentukan punca kematian mereka. Ada pula yang mendakwa kematian Orang Asli tersebut akibat pencemaran sungai.

Mengikut data dari Kementerian Kesihatan, terdapat 185 Orang Asli suku Bateq di Kg Kuala Koh yang terdiri daripada 39 keluarga.

Sehingga hari ini, lebih separuh daripada penduduk jatuh sakit. Pada mulanya, leptospirosis dan tuberculosis (batuk kering) dilaporkan menjadi punca kepada penyakit penduduk kapung Orang Asli ini.

Komuniti itu sudahpun dipindahkan daripada rumah mereka ke khemah sementara yang terletak jauhnya 2 km daripada lokasi asal.

Mereka kini tidak mempunyai bekalan air bersih untuk mandi, memasak atau membasuh pakaian dan bergantung kepada sumbangan orang ramai untuk bekalan air minuman.

Sejak wabak itu tercetus, Orang Asli suku Bateq terpaksa meredah hutan hampir sejam untuk mendapatkan air bersih.

Mereka mendakwa sungai berhampiran perkampungan mereka yang digunakan sebagai sumber air kini sudah tercemar.

Komuniti itu yang terkejut dengan penyakit misteri itu, mengebumikan mayat mereka yang meninggal menurut adat mereka tanpa melaporkan kepada pihak berkuasa. – 12 Jun, 2019.

Iklan
Iklan