Iklan

Harum semerbak kopi panggang Kimanis

Irwan Majid5 years ago20th Jan 2020Foto
Kimanis coffe bean001 copy
Patrick Wong memanggang biji kopi di kilang keluarganya yang sudah mengeluarkan serbuk kopi sejak tiga dekad lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 20 Januari, 2020.
Iklan

DI Kimanis, terdapat perusahaan kopi tempatan yang diuruskan anak jati kawasan itu.

Bagi hampir 2,000 penduduk Kampung Ulu Kimanis, Batu 14 Kimanis, perusahaan kopi itu adalah salah satu resmi kehidupan yang menyemarakkan kehidupan mereka.

Perusahaan Kopi Bintang Mas diuruskan tiga beradik keluarga Wong, berbeza dengan kopi moden yang terdapat dalam pasaran sekarang, ia masih menggunakan kayu api untuk memanggang biji kopi yang diimport khas dari Indonesia.

Kopi Bintang Mas bermula sejak 1992, hasil ilham Wong Fui Ann, 50 bersama dua abangnya, Wong Fui Ping, 52 dan Wong Fui Ming, 53.

Menurut Fui An, mereka menghasilkan sekurang-kurangnya tiga tan serbuk kopi dalam sebulan.

Proses mengambil masa lebih enam jam untuk mengasingkan biji kopi dimport khas dari Indonesia, memanggangnya di atas dapur kayu dan mengisarnya menjadi serbuk sebelum dijual.

Proses memanggang biji kopi diadakan setiap Selasa, Rabu dan Khamis.

Rahsia keunikan kopi mereka: Marjerin berkualiti yang dimasukkan ketika proses memanggang biji kopi menggunakan kayu api. Selain itu, kualiti kopi juga bergantung kepada jumlah marjerin, garam dan gula yang dimasukkan ketika proses memanggang.

Serbuk kopi keluaran keluarga Wong mempunyai tiga kategori iaitu Robusta, Arabica dan Ranau White Coffee, ia diedarkan dan dijual di tamu-tamu berhampiran Kimanis.

Hasil kerja keras mereka, pendapatan menjual kopi panggang kayu api boleh mencecah RM10,000 sebulan.

Bagi penduduk Kimanis dan sekitarnya, produk keluaran anak tempatan bernama Kopi Bintang Mas itu sudah sebati dengan lidah mereka dan mewarnai kehidupan mereka berdekad lamanya.– 20 Januari, 2020.

Iklan
Iklan