Iklan

Sisi harmoni flat San Peng

Seth Akmal7 years ago23rd Jan 2018Foto
San peng flat 220118 tmiseth 13  full
Pemandangan biasa waktu senja di Flat Sri Selangor, Kuala Lumpur. Dapat dilihat di kiri gambar pembinaan bangunan Tun Razak Exchange. Walaupun dihimpit pelbagai pembangunan pesat di tengah Kuala Lumpur, penduduk Flat Sri Selangor ini masih lagi mengekalkan semangat keharmonian bermasyarakat seperti yang terjalin sejak 40 tahun lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Januari, 2018.
Iklan

FLAT Sri Selangor, terkenal dengan jolokan flat San Peng merupakan flat majlis tempatan kedua di Kuala Lumpur selepas flat Pekeliling yang terkenal itu. Sekitar awal 1970-an, penduduk setinggan sekitar Kuala Lumpur telah dipindahkan ke flat San Peng yang terdiri dengan enam blok. Bagaimanapun, setelah lebih 40 tahun, flat ini masih terkenal dengan kepelbagaian masyarakat yang saling hidup bersama dengan rukun damai.

Setiap blok setinggi 16 tingkat ini mempunyai sama ada satu atau dua bilik untuk setiap unit. Melihatkan kehidupan mereka, dapat dirasakan yang penduduk flat San Peng lebih selesa dengan pelbagai kemudahan di sini berbanding flat-flat PPR baharu. Ini disebabkan adanya taman permainan kanak-kanak, padang futsal, selain kawasan riadah lain. Malah, flat ini juga mempunyai beberapa kedai runcit selain kedai makan kecil-kecilan.

Selain itu, rumah ibadah seperti surau dan kuil juga didirikan untuk penduduk di sini. Malah, penduduk di sini bersatu untuk menaik taraf surau kayu kepada surau konkrit dengan menggunakan tabung bersama persatuan penduduk.

Juga, sebagai usaha tambahan untuk tabung persatuan penduduk, mereka menganjurkan pasar malam setiap Ahad.

Walaupun flat ini terkenal sebagai sarang masalah sosial, terutamanya berkaitan penyalahgunaan dadah, penduduk flat San Peng ini masih berjuang mengekalkan keharmonian dan semangat bermasyarakat seperti dahulu kala, seiring dengan kemajuan pesat Kuala Lumpur sendiri. — 23 Januari, 2018.

Iklan
Iklan