Iklan

Nuraina kejar impian sebagai pelumba motosikal handalan

Afif Abd Halim6 years ago26th Aug 2018Foto
Aina woman racer 20180824 tmiafif 02
Nuraina Halisya tenang menyiapkan diri sebelum permulaan sesi kelayakan Pro Am Cub Prix di Temerloh, Pahang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 26 Ogos 2018.
Iklan

NURAINA Halisya Hamiruddin, 19, mungkin kelihatan seperti gadis biasa tetapi pelajar jurusan Pengurusan Maritim ini adalah seorang pelumba motosikal yang penuh bersemangat.

Mengejutkan banyak pihak, Nuraina tidak memiliki lesen motosikal tetapi hanya lesen perlumbaan pertandingan yang dikeluarkan oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM).

Nuraina, bermula pada usia sewal 15 tahun dan pertama kali bertanding pada perlumbaan di Elite Speedway USJ.

Beliau membuat penampilan di beberapa pertandingan dan keputusan terbaiknya adalah berjaya menempatkan diri antara empat pelumba teratas.

Anak sulung di kalangan empat beradik ini kemudian dengan yakin menyertai Malaysian Cub Prix, siri perlumbaan underbone peringkat kebangsaan yang lebih kompetitif bagi motosikal 100-150cc pada 2016.  

Beliau dibenarkan bertanding dalam kategori “Wira KBS” dan pakciknya, Jafry Sahran, 45, yang mempunyai pasukan motosikal sendiri (SPT Racing Team) dan bengkel, akhirnya menjadi pelatih dan mekaniknya.

Dalam tempoh ini, bakatnya dilihat oleh YY Pang Motul, satu pasukan lumba elit, yang kemudian menawarkan diri untuk melatihnya.

Bagaimanapun, ia ditolak oleh keluarga Nuraina kerana mahu beliau memberi tumpuan kepada pengajiannya.

Setelah menamatkan peperiksaan sekolah menengah, Nuraina menyambung kembali cita-citanya.

Kini, beliau bertanding dalam kategori Pro-Am dan perlu mengambil bahagian dalam 10 perlumbaan sepanjang tahun.

Anggaran kos untuk setiap perlumbaan hampir mencecah RM4,000 kerana beliau dan pasukannya perlu pergi ke negeri berlainan untuk menyertai pertandingan.

Selain menggunakan simpanan peribadi, pakcik Nuraina juga meletakkan tabung di sebuah restoran berdekatan bengkelnya, untuk membantu mengumpul sumbangan. Ia selalunya memperoleh kira-kira RM500 bagi setiap kali kutipan.

Walau berdepan cabaran, Nuraina masih bersemangat dan menetapkan matlamat untuk menyertai Kejohanan Perlumbaan Jalan Raya Asia (ARRC) dalam masa dua tahun.

Bagi melihat impiannya menjadi kenyataan, Nuraina mensasarkan untuk memenangi setiap perlumbaan dan konsistens dalam prestasinya. – 26 Ogos, 2018.

Iklan
Iklan