SPRM akan teliti dakwaan sebelum siasat Zahid dan Dr Mahathir
Iklan
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti terlebih dahulu dakwaan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki berkata, ada banyak dakwaan berkenaan “kemewahan” beberapa individu tetapi mereka perlu menyiasatnya terlebih dahulu sama ada ia melibatkan unsur rasuah atau tidak.
“Kalau kita nak menuduh seseorang itu punya harta yang banyak belum tentu ia berpunca daripada rasuah.
“Itu jawapan saya setakat inilah. Kalau saudara pun ada duit banyak, cik adik ni datang lapor pada saya dan minta SPRM siasat, kami kena teliti dahulu sama ada kes itu boleh disiasat atau tidak,” kata Azam kepada pemberita di Putrajaya selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah di Jabatan Imigresen Malaysia hari ini.
Azam mengulas dakwaan Dr Mahathir kononnya Zahid mempunyai RM230 juta di dalam akaunnya semasa menjadi ketua Pemuda Umno pada 1996.
Zahid kemudian mengumumkan kesediaan untuk disiasat SPRM dan pada masa sama menggesa agensi anti rasuah itu agar turut menyiasat kekayaan Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu dan ahli keluarganya.
Pada masa sama, Azam juga memberikan komen berhubung gesaan Menteri Pelancongan Mohamed Nazri Aziz agar SPRM menyiasat kekayaan Dr Mahathir dan keluarganya.
“Sama juga. Layanan dia sama juga. Mana-mana pihak menggesa SPRM untuk menjalankan siasatan, kepada mana-mana pihak kami kena pastikan dulu.
“Adakah pemilikan harta itu berunsur rasuah atau tidak? Sebab apabila kami menyiasat, kami perlu gunakan kuasa kami. Kita tidak boleh bertindak di luar bidang kuasa kerana menjadi satu kesalahan kepada kami pula.
“Itu yang penting kepada agensi penguatkuasa untuk memulakan sesuatu siasatan,” katanya. – 8 Ogos, 2017.