SPRM ingin lihat dahulu kandungan memorandum Pakatan
Iklan
SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melihat kandungan memorandum dihantar Pakatan Harapan (PH) hari ini sebelum mengambil sebarang tindakan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata, sebelum ini pun sudah banyak memorandum dihantar kepada mereka.
“Dia (PH) datanglah ke pejabat, saya pun tidak tahu kandungan memorandumnya.
“Yang pentingnya apakah isi kandungannya. Biar kami lihat memorandumnya,” kata Azam kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Hari ini, PH yang diketuai presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail menghantar memorandum kepada SPRM berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
PH mahu SPRM menyiasat semula kes 1MDB selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengeluarkan saman baru-baru ini.
“Seperti umum sedia maklum, DoJ menyaman beberapa individu untuk menyita harta yang didakwa diperoleh dengan wang yang diseleweng daripada 1MDB.
“DoJ menyatakan ini adalah antara kes kleptokrasi terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat, yang turut melibatkan pelbagai dakwaan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah oleh pihak pengurusan dan pentadbiran Najib Razak,” kata PH dalam kenyataan mereka hari ini. – 8 Ogos, 2017.