Lynas gesa semakan semula yang adil
Iklan
KILANG pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation menggesa semakan semula yang adil terhadap operasinya selepas mendakwa tidak mendapat liputan berita yang adil sejak beberapa minggu lalu.
Ketua pegawai eksekutif yang juga pengarah urusannya Amanda Lacaze berkata syarikat itu tidak mendapat “kelulusan yang adil” dan menggesa semakan semula yang dilakukan terhadap operasinya dilakukan dengan adil.
Beliau berkata Lynas sentiasa menitikberatkan keselamatan kakitangannya dan sentiasa mengamalkan etika kerja “sifar kemalangan”.
“Kami merasakan sesetengah komen dalam media, kami tidak mendapat yang adil. Ia seperti tidak kena.
“Hari ini kami membuat rayuan secara terbuka untuk sebarang semakan yang adil,” kata Lacaze pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Lynas menjalankan pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan sejak 2012.
Ia dilaporkan jawatankuasa penilaian Lynas telah ditubuhkan, dengan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik sebagai pengerusi di bawah tempoh perkhidmatan selama tiga bulan bermula Isnin.
Fuziah lantang mengkritik loji pemprosesan itu dan berkempen menentangnya kerana bimbang dengan masalah kesihatan di kawasannya.
Lacaze juga berkata fasiliti penyimpanan bahan buangan adalah sejajar dengan standard fasiliti deposit dan kadar radiasinya rendah.
“Juruterbang atau kru penerbangan terdedah dengan lebih banyak radiasi dalam setahun berbanding kakitangan kami dalam setahun,” kata Lacaze.
Ditanya sama ada syarikat itu akan membina loji pemprosesan baharu di negara ini, Lacaze berkata ia mahu tinggal di Malaysia dan sangat komited kepada negara ini.
“Ia memiliki persekitaran yang stabil dan kami memiliki tenaga kerja yang cemerlang, kami sangat dekat dengan pasaran.”
Tambah Lacaze, 650 kakitangannya akan terjejas berikutan penutupan loji, manakala ribuan pekerja lagi yang terbabit secara langsung dengan operasinya akan turut terjejas.
Daripada 650 pekerja, 97% daripadanya adalah rakyat Malaysia manakala 70% memegang jawatan pengurusan dalam syarikat itu.
Beliau juga berkata Lynas masih belum menerima kenyataan rasmi daripada kerajaan berhubung semakan semula itu.
Lacaze juga berharap syarikat itu akan diberi masa untuk menyesuaikan dengan perubahan yang akan dilaksanakan kerajaan terhadap operasinya.
Semalam, Majlis Perniagaan Malaysia Australia (MABC) menggesa semua semakan terhadap operasi Lynas Malaysia didedahkan kepada umum, telus, objektif dan berdasarkan bukti, dalam meningkatkan keyakinan pelabur.
Majlsi itu berkata Lynas Malaysia perlu diberi peluang untuk mempertahankan secara terbuka rekod peraturan dan alam sekitar sejak ia menjalankan operasi pada 2012. – 2 Oktober, 2018