Iklan

Rakyat perlu kerja keras untuk jadi 'Harimau Asia' sekali lagi, kata PM

Asila Jalil6 years ago2nd Oct 2018Berita
Mahathir mohamad subang royal air force base arrival 02
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan isteri tiba di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang selepas lawatan kerja di Amerika Syarikat dan United Kingdom hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 2 Oktober, 2018.
Iklan

SELURUH rakyat perlu bersiap sedia dengan pelaburan asing yang sedang diusahakan kerajaan Pakatan Harapan untuk dibawa masuk ke negara ini, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu bekerja keras untuk memperlihatkan kepada pelabur asing yang negara sudah pulih dan bakal menjadi “Harimau Asia” sekali lagi.

“Saya meminta rakyat Malaysia mempersiapkan diri dan tidak mengecewakan mereka yang akan membantu negara dengan melabur di sini.

“Kita akan bekerja keras dan menghasilkan produk berkualiti.

“Tunjukkan kepada dunia yang kita telah pulih dan akan membangunkan negara ini untuk menjadi ‘Harimau Asia’ sekali lagi,” katanya kepada pemberita di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Subang selepas tiba daripada lawatan kerja di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Perdana Menteri sebelum ini berada di New York mengetuai delegasi Malaysia bagi Perhimpunan Agung PBB ke-73 yang bermula Selasa lalu dan berakhir pada hari Sabtu sebelum singgah ke London dalam rangka kerja melawat Britain. Lawatan pertama beliau ke Negara itu sebelum ini pada 21 September untuk berucap di Pusat Kajian Islam Oxford di samping melawat Kolej Imperial London.

Ketibaan beliau disambut ratusan penyokong. Menteri-menteri yang turut hadir adalah Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya Liew Chin Tong.

Beliau berkata selain memberi ucapan di PBB, beliau turut bertemu dengan pelabur-pelabur dan media Amerika untuk menjelaskan dasar Pakatan Harapan.

Beliau turut berkata ramai pelabur asing berjanji untuk melabur di dalam Negara kerana berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

“Saya mengatakan kerajaan PH mengutamakan peluang kerja kepada rakyat Malaysia  di setiap peringkat dan mereka mengakui perniagaan mereka memerlukan pegawai berkemahiran di samping jurutera dan pekerja lain untuk  memastikan produk berkualiti tinggi dapat dihasilkan.

Beliau menambah ketika di London, kerajaan Britain berjanji untuk  memberi taklimat mengenai cara-cara membanteras rasuah.

Ketika di London, beliau turut dilaporkan diberi taklimat mengenai halatuju Syarikat Lotus, yang merupakan pengeluar kereta sukan dan kereta lumba dalam sebuah pertemuan tertutup.

Taklimat itu diberikan oleh Pengarah Eksekutif Lotus Feng Qingfeng yang juga merupakan ketua pegawai teknologi di Kumpulan Geely Auto.

Dr Mahathir dipercayai  turut melihat model terbaru syarikat Lotus.– 2 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan