Iklan

Anwar perlu dapat majoriti lebih besar, kata Mat Sabu

Asila JalilYasmin Ramlan6 years ago4th Oct 2018Berita
Mat sabu anwar 20181003 tmihasnoor 008
Menteri Pertahanan yang juga Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata Anwar perlu diberikan undi majoriti besar kerana beliau merupakan bakal perdana menteri.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Oktober, 2018
Iklan

PENGERUSI Amanah Mohamad Sabu menggesa pengundi di Port Dickson memberi majoriti undi lebih besar kepada Anwar Ibrahim berbanding undi diraih Pakatan Harapan pada 9 Mei.

Beliau yang juga menteri pertahanan berkata, pengundi Port Dickson perlu menunjukkan demikian kerana merea akan memilih ahli Parlimen yang akan menjadi perdana menteri kelapan.

Katanya, ahli Parlimen PKR Danyal Balagopal Abdullah sebelum ini meraih lebih 17,700 undi , maka kali ini Anwar perlu meraih sekurang-kurangnya 18,000 undi majoriti.

Dalam ucapan di Kampung Si Rusa pada malam tadi, Mohamad menyoal sekiranya pengundi mahu  Anwar dilantik menjadi perdana menteri, yang disambut dengan positif oleh kira-kira 100 orang yang hadir.

Oleh itu, pengundi perlu menunaikan tanggungjawab bagi memastikan Anwar mendapat sekurang-kurangnya 18,000 undi, katanya.

“Kalau kurang, jaga,” katanya lagi dengan berjenaka dalam ceramah di kawasan Dun Bagan Pinang itu.

Tambahnya, Anwar sememangnya sudah menang pada waktu ini tetapi ketua umum PKR itu tidak boleh menjadi PM dengan majoriti kecil.

“Anwar sudahpun menang sekarang. Mahukah kita hantar bakal perdana menteri menang majoriti yang sikit? Kita mahu menang (dengan) majoriti besar pada 13 Oktober nanti,” katanya.

Turut berucap dalam ceramah berkenaan adalah ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, Adun Hasnul Baharuddin dan calon mereka, Anwar Ibrahim.

Calon PKR Anwar Ibrahim berdepan pertembungan tujuh penjuru pada pilihan raya kecil Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 4 Oktober, 2018

Pakatan Harapan kini berusaha menaikkan jumlah undi tersebut dengan menggempur kawasan penyokong Umno dan juga kempen untuk menarik pengundi untuk pulang mengundi pada tarikh tersebut.

Parti itu bimbang jika pengundi di luar kawasan itu tidak pulang mengundi kerana menganggap Anwar sudahpun menang pilihan raya kecil berkenaan.

Trend yang ditunjukkan pengyundi dalam tiga pilihan raya kecil sejak selepas 9 Mei juga merosot teruk dan PH bimbang keadaan itu akan berulang dalam pilihan raya kecil Port Dickson.

Pada 4 Ogos, PRK Sungai Kandis yang menyaksikan jumlah pengundi hanya 49.4% dan semakin menurun pada PRK Seri Setia 44.1% dan Balakong, 43%.

Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi berdaftar, terdiri daripada 43% Melayu, 33% Cina dan 22% India.

Sebahagian besar daripada pengundi Port Dickson terdiri daripada pemilih Melayu (43%), diikuti pengundi Cina (33%) dan India (22%).

Seramai 68,486 adalah pengundi biasa, manakala 6,690 anggota tentera, dan 578 pengundi lagi terdiri daripada anggota polis.

Anwar dicabar oleh bekas pemimpin Umno berpengaruh di kawasan tersebut, Isa Samad dan seorang lagi yang dikaitkan dengan parti berkenaan, Saiful Bukhari Azlan yang bertanding Bebas.

Saiful merupakan individu yang pengadu yang mendakwa diliwat Anwar pada 2009 dan bertanggungjawab menyebabkan ketua umum PKR itu meringkuk di penjara selaam lima tahun.

PAS pula meletakkan veteran tentera udara Nazari Mokhtar, manakala tiga lagi calon Bebas adalah Lau Seck Yan, Stevie Chan, dan Kan Chee Yuen.– 4 Oktober, 2018

Iklan
Iklan