Iklan

PRK Port Dickson beri kesan kepada iklim pelaburan

Yvonne Lim6 years ago6th Oct 2018Berita
Port dickson by-election anwar kit siang 20181005 tmihasnoor 007
Calon Pakatan Harapan bagi PRK Port Dickson, Anwar Ibrahim berjumpa penduduk di sekitar Lukut dalam siri kempennya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2018.
Iklan

SUASANA politik dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang semakin rancak turut memberi kesan kepada iklim pelaburan Malaysia, kata seorang exco Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata iklim pelaburan baru hendak bertambah baik berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan penyingkiran Barisan Nasional, yang memerintah negara sejak Merdeka.

“Negara sudah berada dalam ‘mod politik’ untuk sekurang-kurang setengah tahun pertama, mengakibatkan persekitaran pelaburan tidak disenangi berlarutan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Kita mengubah kerajaan (daripada) yang wujud sejak lebih 60 tahun ... Dan kemudian, terdapat begitu banyak PRK.”

Beliau merujuk kepada PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong, yang diadakan selepas pilihan raya umum 9 Mei berikutan kematian wakil rakyat masing-masing.

“Kita mula kembali (kepada iklim yang lebih baik), dan kemudian, Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di Port Dickson, dan sekarang, kita berada dalam mod politik lagi.”

Puah, yang juga timbalan ketua PKR Johor berkata beliau berharap keyakinan pelabur akan meningkat tidak lama lagi.

Beliau berkata baru-baru ini melawat Singapura dan China untuk mengurangkan kebimbangan para pelabur mengenai iklim politik Malaysia.

“Saya harap orang memahami yang kerajaan stabil. Politik adalah politik. Mari teruskan kehidupan kita dan jalankan perniagaan.”

Selepas Pakatan Harapan meraih kemenangan pada PRU14, Bursa Malaysia jatuh sebanyak 10%, memandangkan pelabur asing melarikan diri daripada pasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor Jimmy Puah Wee Tse berharap keyakinan pelabur akan meningkat tidak lama lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2018

Namun, pasaran saham mulai pulih dengan kadar lebih 6%, dan aliran keluar pelaburan asing semakin perlahan, menurut laporan Bloomberg.

Sentimen di Johor terkesan dengan keputusan kerajaan persekutuan menangguhkan projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, yang melalui negeri itu.

Kenyataan mengenai projek kediaman mega yang dimiliki oleh seorang kontraktor China juga menyebabkan kegelisahan kepada keyakinan pelabur.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim adalah antara tujuh calon yang bertanding kerusi Parlimen Port Dickson pada PRK 13 Oktober.

Saingan utama beliau adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad, yang bertanding sebagai calon bebas dan veteran tentera udara Mohd Nazari Mokhtar daripada PAS.

Empat yang lain adalah calon Bebas - Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu dan pendakwa dalam kes liwat Anwar, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen.

PRK itu diadakan selepas Danyal Balagopal Abdullah, daripada PKR, mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Anwar, yang sedang ingin kembali ke Parlimen sebelum mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad sebagaimana dipersetujui. – 6 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan