Iklan

Isa Samad gesa pengundi PD tolak orang luar

Kamles Kumar6 years ago6th Oct 2018Berita
Port dickson by-election isa samad 20181006 tmihasnoor 003
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mendakwa orang luar tidak tahu apa-apa mengenai Port Dickson dan tidak sepatutnya dibenarkan memenangi kerusi tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Oktober, 2018.
Iklan

ISA Samad hari ini menggesa pengundi India di Port Dickson supaya menolak orang luar termasuk bakal perdana menteri Anwar Ibrahim yang akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mendakwa orang luar tidak tahu apa-apa mengenai Port Dickson dan tidak sepatutnya dibenarkan memenangi kerusi tersebut.

“Saya orang PD. Kita tak mahu orang luar bertanding di PD. Kita dah cukup ada orang luar pada masa dulu,” kata Isa di hadapan sekitar 40 orang India di Kampung India.

Bekas ahli Parlimen Jempol itu juga menggesa pengundi supaya jangan sekali lagi terpedaya dengan Pakatan Harapan (PH) yang gagal memenuhi janji pilihan raya mereka.

“Jangan tertipu kali kedua. Dah tertipu kali pertama dalam pilihan raya umum. Cukuplah. Mereka tak tunaikan janji.

“Jangan ulang kali kedua. Kalau dah kali ketiga, baik mati saja,” kata Isa.

Isa Samad juga menggesa pengundi supaya jangan sekali lagi terpedaya dengan Pakatan Harapan (PH) yang gagal memenuhi janji pilihan raya mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Oktober, 2018.

Tambah beliau, Anwar kini semakin lemah dan sebab itulah memilih untuk bertanding di kerusi parlimen Port Dickson kerana ia kerusi selamat.

“Dia dah tak kuat, lemah. Sebab itulah bertanding di PD. Sekarang kita boleh kalahkan sebab dia lemah,” katanya.

Anwar berdepan enam calon lain dari PAS, Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk Isa dan Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantunya sendiri yang terlibat dalam kes liwat kedua.

Pilihan raya kecil pada 13 Oktober itu diadakan untuk menghantar Anwar ke Dewan Rakyat dalam pelan peralihan kuasa menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. 

Pada 12 September lepas, Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi yang dimenanginya dalam pilihan raya umum ke-14 untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dalam pilihan raya kecil.

Danyal yang meraih 36,225 undi menang dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional V Mogan dari MIC dan calon PAS Mahfuz Roslan. Mahfuz hanya dapat 6,594 undi.

Kerusi Port Dickson mempunyai 77,750 pengundi yang terdiri daripada 43% Melayu, 33% Cina, 22% India dan lain-lain 2%. – 6 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan