Iklan

RM2 bilion bukti transaksi berlaku di Malaysia, kata Forest City

Yvonne Lim6 years ago7th Oct 2018Berita
Forest city tmikamal 01
Forest City adalah projek mega bernilai AS$100 bilion (RM400 bilion) di Johor yang dibangunkan Country Garden Pacificview (CGPV), usaha sama antara Country Garden Holdings, syarikat berpangkalan di Guangdong dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Oktober, 2018.
Iklan

DEPOSIT RM2 bilion daripada pembeli adalah bukti hartanah Forest City boleh dibeli sesiapa sahaja dan bukan khas untuk pelabur China, kata pemajunya.

Menafikan dakwaan yang unit kediaman dalam projek berbilion ringgit itu diberikan secara percuma kepada pelabur China, jurucakap rasmi Forest City Ng Zhu Hann berkata deposit RM2 bilion kepada Akaun Pemajuan Perumahan (HAD) membuktikan transaksi itu dilakukan di Malaysia.

“Ia bermakna wang itu daripada pembeli yang sudah membeli hartanah tersebut, transaksi itu berlaku di Malaysia. Jika tidak berlaku (transaksi) tidak mungkin akan ada wang dalam HDA…bukannya kami boleh masukkan wang ke dalamnya.

“Setiap pembeli yang membeli hartanah diperlukan mengikut Akta Pemajuan Perumahan untuk meletakkan jumlah (tertentu) ke dalam akaun (supaya) sekiranya projek bermasalah, kerajaan boleh ambil alih,” kata Ng yang merupakan pengarah strategi Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV).

Menurutnya lagi, Forest City sudah menjelaskan perkara tersebut kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang sudahpun mengesahkan maklumat tersebut.

Beliau juga memberitahu The Malaysian Insight, mustahil untuk transaksi tersebut berlaku beberapa tahun lalu tanpa pengetahuan juruaudit.

Dakwaan bahawa China ada program beli satu hartanah di sana, percuma satu di Forest City tidak boleh berlaku kerana wujud perbezaan syarikat dan akaun, kata jurucakap Forest City Ng Zhu Hann. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Oktober, 2018.

“Country Garden Holdings, ibu syarikat, disenaraikan dalam Pasaran Saham Hong Kong. Jadi bila anda bercakap tentang CGPV, yang merupakan pemaju utama Forest City- ia sebenarnya dua entiti berasingan. Tidak mungkin kami boleh, katakanlah, beli satu produk di China dan anda dapat percuma satu (di Forest City).

“Ada dua standard perakaunan yang berbeza- ada dua akaun yang akan diaudit, dan lebih penting adalah ia dua jenis perniagaan berbeza, di rantau berbeza. Tambahan pula, CGPV adalah usaha sama dengan kerajaan Johor. Ia bukan dimiliki sepenuhnya oleh Country Garden Holdings.

“Jadi tidak wujud perkara seperti transaksi berkaitan (kedua-dua syarikat itu). Malah ada juga isu pemindahan harga, yang akan dikesan juru audit lama dahulu. Jadi (dakwaan) tersebut tidak ada kebenarannya,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali mendakwa yang terdapat perjanjian yang membuatkan semua transaksi kewangan berkaitan jualan hartanah projek tersebut diberikan kepada kerajaan China dan bukannya Kementerian Kewangan Malaysia.

“Ada program khas di mana jika anda labur sejumlah wang di China, anda akan dapat unit percuma di Forest City.

“Jadi, sudah tentu, kita tak boleh benarkan perkara itu kerana mereka bayar cukai di China dan transaksi dilakukan di China. Ia tak beri manfaat kepada kita,” kata Azmin dipetik berkata.

Tumpuan kepada Forest City, projek hartanah mega seluas 3,425 ekar semakin memuncak selepas perubahan kerajaan Mei lalu.

Forest City adalah projek mega bernilai AS$100 bilion (RM400 bilion) di Johor yang dibangunkan Country Garden Pacificview (CGPV), usaha sama antara Country Garden Holdings, syarikat berpangkalan di Guangdong dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd.

Country Garden Holdings memiliki saham majoriti dalam CGPV menerusi anak syarikat Malaysia, baki saham dimiliki kerajaan Johor, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan rakan bersekutunya.

Dalam satu wawancara dengan program Hardtalk terbitan BBC baru-baru ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut ditanya sekiranya beliau menentang rakyat China menetap di Malaysia, jawabnya: “Tidak ada negara yang mahukan rakyat negara lain datang dan menetap secara besar-besaran.”

Sebelum itu, Dr Mahathir memberitahu media selepas lawatan kerja ke Beijing yang warga asing tidak akan dibenarkan membeli unit kediaman di Forest City.

Susulan kenyataan tersebut, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan rasmi menyebut yang Malaysia mengenakan beberapa syarat terhadap hartanah dibeli warga asing, tanpa mengira kerakyatan mereka, tetapi pembelian hartanah tidak menjamin pemberian automatic status penduduk tetap negara ini.

70% pembeli Forest City adalah rakyat China, komposisi pembeli ini dijangka berubah, kata pemaju. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 7 Oktober, 2018.

Ng menjelaskan yang sebab mengapa jumlah terbesar pembeli Forest City adalah warga China adalah kerana Country Garden adalah syarikat berasal dari negara itu yang sudah pasti pada permulaan akan menjualnya kepada pelabur yang berada dalam senarai data mereka- rakyat China.

Menurut Ng, rekod terkini pemaju mendapati 70% pembeli adalah dari China, Hong Kong, Taiwan dan Macau, manakala 20% adalah dari Malaysia dan Singapura, sementara baki 10% adalah dari 22 buah negara lain.

Bagaimanapun, katanya, komposisi pembeli itu akan berubah.

“Dalam aspek mengapa jumlah pembeli China sangat signifikan…ia adalah kerana Country Garden adalah pemaju terbesar di China. Jadi data mereka sudah tentu dari negara asalnya- iaitu empat negara ini, China, Taiwan, Hong Kong dan Macau.

“Forest City masih berada pada peringkat awal… projek ini baharu tiga tahun…jadi projek ini masih awal, pada masa ini segmen (pelabur) akan cenderung kepada demografik tertentu. Pada masa hadapan, demografik (pelabur China) ini akan berkurangan dan berubah,” katanya.

Ng menambah yang pemaju sedang berusaha untuk mempelbagaikan sasaran pasaran mereka dengan mewujudkan galeri jualan di sembilan negara lain.

Di Malaysia sahaja, mereka mempunyai 13 galeri jualan.

“Tidak mungkin Forest City boleh bergantung kepada hanya sebuah negara daripada demografik tunggal. (Jika itu yang berlaku) ia bukanlah metropolis global, ia bukan pasaran antarabangsa. Anda hanya pasarkan kepada negara atau bangsa tertentu. (Dan) Ia tidak pernah jadi rancangan kami. Kami tidak pernah merancang membina penempatan China di sini,” kata Ng. – 7 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan