Iklan

Kita anggap Saiful tak wujud, kata Pakatan

Bernard Saw6 years ago7th Oct 2018Berita
Saifuddin nasution 260718 tmiseth 03
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berkata PH tidak akan melayan dakwaan Saiful Bukhari Azlan berkenaan kes liwat membabitkan calon PH di PRK Port Dickson, Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2018.
Iklan

PAKATAN Harapan tidak minat melayan dakwaan Saiful Bukhari Azlan dan menganggap calon Bebas itu seolah-olah tidak wujud dalam kempen di Port Dickson, kata Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

Saifuddin berkata fokus utama PH adalah penerangan kepada pengundi berhubung mesej mereka dalam pilihan raya kecil tersebut, dan bukannya melayan dakwaan oleh pengadu kes Liwat II itu.

“Kempen strategi kita mudah. Kita anggap Saiful tak wujud. Kita fokus kepada naratif skrip dan mesej. Itu jelas. 

“Kita berbicara macam mana nak mentadbir, apa makna Pakatan Harapan dan harapan baharu untuk Malaysia, serta prestasi Anwar semasa bersama kerajaan.

“Kita hanya abaikan (Saiful), bukan isu, bukan faktor langsung,” katanya pada sidang media di Port Dickson.

Saiful malam tadi menyentuh isu dakwaan kes Liwat II buat kali pertama malam tadi dalam kempen PRK Port Dickson yang masuk pertengahan kedua.

Calon bebas PRK PD, Saiful Bukhari Azlan menyentuh isu dakwaan kes Liwat II buat kali pertama malam tadi dalam kempen PRK Port Dickson yang masuk pertengahan kedua. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2018.

Dalam pertemuan di Kampung Teluk Pelanduk itu, beliau ditanya seorang penduduk sekiranya kes yang menyebabkan Anwar dipenjarakan benar-benar berlaku.

“Perkara itu benar-benar berlaku. Kalau tak berlaku, saya tak akan berdiri di sini,” dakwanya ketika berucap kepada beberapa belas orang yang hadir dalam pertemuan di taman perumahan rakyat itu.

Katanya, beliau juga sudah bersumpah mengenai kebenaran kes tersebut dan membuat laporan polis, sedangkan Anwar tidak bersumpah.

Anwar yang meringkuk di penjara selama lima tahun atas sabitan kes tersebut sudah pun mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong dan bertanding dalam PRK ini untuk menjadi perdana menteri kelapan.

Saiful bertanding sebagai calon Bebas di samping bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad.

Turut bertanding Bebas adalah Lau Seck Yan, Stevie Chan, dan Kan Chee Yuen.

PAS meletakkan veteran tentera udara berpangkat leftenan kolonel Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon mereka.

Hari pengundian ditetapkan berlangsung pada 13 Oktober depan, dengan undi awal ditetapkan pada 9 Oktober. – 7 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan