Iklan

Maksiat tetap maksiat, kata Anwar

Kamles Kumar6 years ago7th Oct 2018Berita
Port dickson drowned fireman anwar 20181004 tmihasnoor 005
Calon PRK Port Dickson Anwar Ibrahim berkata PH tidak menggalakkan maksiat dan meminta semua pihak untuk memahami kenyataan yang dibuat oleh menteri hal ehwal agama Mujahid Yusof Rawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2018.
Iklan

ANWAR Ibrahim menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak menggalakkan maksiat dan meminta semua pihak untuk memahami kenyataan menteri hal ehwal agama Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata kontroversi yang timbul berhubung kenyataan Mujahid dapat dielak sekiranya memahami maksud sebenar menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

“Kita harus memahami konteks (kenyataan Mujahid). Beliau tak galakkan maksiat tetapi cuma kata tindakan undang-undang itu macam mana. Kita tidak galakkan, maksiat tetap maksiat,” kata Anwar.

Calon PH itu ditanya di Port Dickson hari ini berhubung laporan The Star yang menyebut, kenyataan Mujahid menyatakan serbuan dalam kes khalwat akan dihentikan.

Mujahid dalam satu penjelasan hari ini menegaskan perkara itu tidak disebut dan mungkin ditambah oleh akhbar berkenaan.

“Saya tidak pernah menyebut isu kononnya (serbuan) dihentikan pada waktu malam, tidak diketuk pintu.

“Itu semua adalah tambahan daripada editor yang membuat rumusan mereka sendiri daripada kenyataan saya,” kata Mujahid seperti dipetik dalam laporan stesen TV Alhijrah.

Katanya, beliau hanya bercakap mengenai beza kesalahan yang dilakukan di ruang awam dan peribadi serta salah guna kuasa penguasa.

“Saya hanya bercakap tentang isu kesalahan ruang awam dengan ruang peribadi, dan juga mengenai salah guna kuasa serta pencerobohan di ruang peribadi yang tidak menggambarkan kaedah dan cara Islam,” kata Mujahid.

Katanya, tindakan boleh diambil jika terdapat kebimbangan dan sebagainya tetapi kaedah itu perlu melalui undang-undang.

Beliau turut menjelaskan, perbuatan dosa tetap berdosa tetapi yang menjadi perbezaan adalah penguatkuasaan kerajaan.

“Dosa tetap dosa walaupun secara senyap-senyap, bezanya ialah atas konteks penguatkuasaan kerajaan, kita utamakan penguatkuasaan yang boleh menceroboh ketenteraman awam,” katanya.

Kenyataan awal dalam laporan The Star yang didakwa menghentikan operasi maksiat itu menimbulkan bantahan pelbagai pihak termasuk mufti. – 7 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan