Iklan

Forest City siapkan rumah mampu milik dalam tempoh 3 tahun, kata pemaju

Yvonne Lim6 years ago8th Oct 2018Berita
Forest city
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata Putrajaya akan mengutamakan kuasa pembelian hartanah dalam kalangan orang Melayu berbanding warga asing termasuk di Forest City. – Gambar EPA, 8 Oktober, 2018.
Iklan

SELARAN dengan cadangan kerajaan, Forest City akan membina rumah mampu milik yang memenuhi keperluan dan citarasa tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Jurucakap rasmi Forest City, Ng Zhu Hann memberitahu The Malaysian Insight dalam satu temu bual, bahawa Kementerian Perumahan memberikan cadangan untuk membina produk yang mampu dimiliki rakyat Malaysia.

“Mereka berharap kami dapat menghasilkan produk yang dibuat khas, bukan hanya dari segi harga tetapi juga gaya dan reka bentuk.

“Walaupun kami memenuhi pasaran antarabangsa, kami faham ada perkara-perkara tertentu yang digemari rakyat Malaysia, contohnya seperti banyak bilik.

Forest City adalah projek mega berukuran 3,425 ekar yang terletak di Johor. Ia dibangunkan oleh Country Garden Pacificview (CGPV), sebuah usaha sama antara Country Garden Holdings yang berpangkalan di Guangdong dan Esplanade Danga 88 Sdn Bhd.

Country Garden Holdings memiliki kepentingan majoriti CGPV melalui anak syarikat Malaysia, manakala baki pegangan dimiliki oleh kerajaan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan juga rakan niaganya.

Ng, yang merupakan Pengarah Strategi CGPV, menambah bahawa rumah mampu milik tersebut boleh dibina di kawasan Forest City, atau di luar bergantung kepada cadangan kerajaan.

“Di mana pun kerajaan merasakan sesuai, dan di mana pun terdapat permintaan, kami akan mematuhi saranan kerajaan, kerana pihak kerajaan lebih arif daripada kami.

“Kami tidak mahu membina rumah mampu milik di kawasan yang jauh di mana penduduk tempatan tidak mahu tinggal ... Kami ingin memastikan bahawa apabila kami menggunakan apa-apa skim untuk menampung penduduk tempatan, ia mestilah sesuatu yang dapat memberi faedah kepada mereka secara langsung.

“Kami mahu menyediakan kawasan kediaman untuk rakyat Malaysia ... untuk menikmati manfaat yang sama dengan pasaran antarabangsa.”

Ditanya mengenai jangka siap rumah mampu milik ini, Ng menjawab: “Dalam 3 tahun akan datang, pasti”

Jurucakap Forest City Ng Zhu Hann menafikan dakwaan transaksi dilakukan di luar Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2018.

Ng menambah bahawa pemaju sedang berbincang dengan kerajaan persekutuan dan negeri Johor untuk menggunakan teknologi pembinaan Country Garden, termasuk kilang Sistem Pembangunan Bersepadu yang terletak di Forest City, bagi pembinaan rumah mampu milik tersebut.

“Kami telah menggunakannya untuk 9 blok rumah (di Forest City) ... Kami kini mempunyai keupayaan untuk membekalkan dan mengambil bahagian dalam agenda perumahan kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya sambil menambah bahawa pelan induk Forest City adalah lebih daripada “visi futuristik” yang boleh diubah suai untuk memenuhi permintaan pasaran serta tuntutan kerajaan.

Projek Forest City yang bernilai ASD100 bilion (RM400 bilion) tersebut dilihat cuba melenyapkan imej “untuk China sahaja”, berikutan dakwaan yang mengatakan projek itu dijalankan untuk membawa masuk 700,000 warga China ke Malaysia .

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali sebelum ini mendakwa terdapat perjanjian yang akan menyaksikan semua urusan kewangan ke atas penjualan hartanah daripada projek itu akan diserahkan kepada kerajaan China dan bukan kepada Perbendaharaan Negara di sini.

“Terdapat program khusus di mana jika anda melabur sejumlah wang tertentu di China, anda mendapat unit percuma di Forest City.

“Mereka membayar cukai di China, mereka melakukan urus niaga di China, tetapi ia tidak memberi faedah kepada kita dan ekonomi kita di Malaysia ... Mereka merancang untuk membawa masuk 700,000 orang Cina dari tanah besar China bagi memiliki hartanah di Forest City,” Azmin dipetik sebagai berkata.

Menafikan dakwaan ini, Ng memberitahu The Malaysian Insight bahawa RM2 bilion yang didepositkan ke dalam akaun Pembangunan Perumahan projek membuktikan bahawa urusniaga dilaksanakan di Malaysia. Beliau juga menambah bahawa mustahil apa-apa transaksi berlaku, tanpa melalui juruaudit pada tahun lalu.– 8 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan