Janganlah lebih-lebih sangat SPR, kata Anwar
Iklan
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) dan Bersih 2.0 berhak menasihati calon mengenai peraturan pilihan raya tapi tidak harus keterlaluan, kata Anwar Ibrahim.
Katanya, kempen Pakatan Harapan dijalankan mengikut peraturan untuk pilihan raya kecil Port Dickson jadi mereka tidak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.
“Kita buat ikut law, peraturan, respect Bersih dan SPR, dan oleh demikian tak boleh salah guna (jentera kerajaan). Tapi janganlah lebih-lebih sangat,” katanya.
Anwar juga mengakui beliau menaiki kenderaan rasmi kerajaan bersama Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ketika meninggalkan satu majlis di kem tentera minggu lalu.
Namun beliau berbuat demikian kerana ingin bercakap dengan Mohamad yang perlu mengikuti protokol dengan menaiki kenderaan rasmi.
“Itu hari, Mat Sabu datang, saya nak cakap dengan dia, tak ada masa. Dia nak balik jadi saya kata naik motokar.
“Kalau saya naik kereta dia salah, dia naik kereta saya tak boleh kerana protokol tentera, jadi saya naik kereta dia saja. Dari satu tempat ke satu tempat pun kata tak boleh,” katanya.
Beliau mengulas teguran oleh Bersih dan SPR ke atas kempennya di kem tentera bersama Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pada minggu lalu.
Anwar berkata SPR sepatutnya melihat kepada perkara seperti menganugerahkan projek dan penyalahgunaan wang kerajaan semasa berkempen.
“Yang kita tak mahu, salah guna wang, bagi projek, itu kita tak buat,” katanya yang menambah, PH mencuba sedaya upaya untuk tidak menggunakan jentera dan kemudahan kerajaan semasa kempen.
Perkara itu perlu dilihat semasa kehadiran para menteri Kabinet di Port Dickson untuk berkempen, katanya lagi.
Anwar berkata demikian pada malam tadi ketika berucap dalam majlis makan malam yang turut dihadiri dua menteri PH, Gobind Singh Deo dan Zuraida Kamaruddin.
Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar seterusnya menjelaskan bahawa beliau bermaksud agar SPR dan Bersih turut memudahkan calon dan pengundi bertemu satu sama lain semasa kempen.
“Dalam hal ini, mungkin di masa depan kita perlu membincangkan sekiranya ada kelonggaran tertentu yang boleh diambil kira untuk meningkatkan akses calon kepada pengundi sewaktu tempoh kempen.
“(Kelonggaran boleh dibuat) tanpa melanggar mana-mana peraturan atau sekiranya peraturan sedia ada terlalu menyekat pergerakan calon dan menghalang rakyat bertemu pemimpin mereka dan orang yang mahu memimpin mereka,” katanya.
Katanya lagi, beliau menghormati peranan serta kuasa SPR dan turut mengagumi dan menghargai peranan Bersih.
Jelasnya usaha reformasi yang dijalankan Bersih serta pengorbanan pengasas dan pemimpin gabungan NGO tersebut selama ini membolehkan Malaysia mencapai demokrasi melalui pilihan raya moden.
Beliau mengulas kenyataan pengerusi baharu SPR, Azhar Azizan Harun semalam menegur kempen PH dan berkata tidak adil sekiranya hanya Anwar dibenarkan masuk berkempen di kem tentera di Port Dickson.
Bersih juga menyatakan peringatan agar Pakatan Harapan tidak melanggar peraturan kempen.
Calon lawannya pula mendesak untuk diberi akses sama agar dapat menemui anggota tentera di kem dan juga menemui jemaah di masjid.
Anwar sebelum ini menjelaskan beliau hanya memenuhi undangan untuk hadir berucap di program di kem tentera dan masjid. – 8 Oktober, 2018.