Iklan

Dulu dakwa saya, sekarang Shafee kena dakwa, kata Anwar

Kamles Kumar6 years ago8th Oct 2018Berita
anwar ibrahim 20181007 tmihasnoor 006
Susah nak dakwa Najib Razak, tapi lagi susah nak dakwa Rosmah Mansor, kata Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Oktober, 2018.
Iklan

PIHAK yang terlibat membuat tuduhan dalam kes Liwat II kini menerima hukum karma, kata calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.

Anwar menyebut konsep dalam agama Buddha itu ketika pertemuan dengan masyarakat Cina di DUN Chuah pada malam tadi dalam kempennya bagi Pilihan Raya Kecil Port Dickson.

Katanya Shafee Abdullah menjadi pendakwa raya dalam kes Liwat II, tapi kini peguam berkenaan diheret ke mahkamah kerana tuduhan mengubah wang haram.

“Itulah karma,” kata Anwar Ibrahim kepada kira-kira 150 orang yang hadir dalam ceramah tersebut. 

Konsep karma menggariskan sebab dan akibat yang menyatakan bahawa setiap tindakan akan menyebabkan berlakunya reaksi.

Pada 2013, Shafee dilantik oleh kerajaan pimpinan Najib Razak untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskannya dari tuduhan Liwat II.

Mahkamah Rayuan seterusnya membatalkan pembebasan tersebut dan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas bekas timbalan perdana menteri itu pada 2014.

Shafee seterusnya menjelajah ke seluruh pelusuk tanah air untuk bercakap mengenai kes tersebut dan pencapaiannya mensabitkan Anwar dengan tuduhan berkenaan.

Shafee Abdullah yang dahulunya berjaya merayu pembatalan sabitan tidak bersalah Anwar Ibrahim kini berdepan pertuduhan pengubahan wang haram, kata Anwar ini karma. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2018.

Anwar menerima pengampunan diraja pada 16 Mei, seminggu selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum ke-14.

Dalam ucapannya, Anwar seterusnya berkata sukar bagi kerajaan mendakwa bekas perdana menteri Najib.

“Tapi lebih sukar untuk dakwa Rosmah,” kata Anwar lagi yang disambut dengan tepukan dan ketawa hadirin.

Minggu lalu, isteri Najib itu didakwa dengan 17 tuduhan mengubah wang haram dan mengelak cukai.

Pada hari sama, Najib juga hadir ke mahkamah untuk pengurusan kes bagi tujuh tuduhan melibatkan RM42 juta yang didakwa diterima daripada SRC International Sdn Bhd.

SRC International merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd.

Anwar kini bertanding PRK Port Dickson dalam usahanya untuk kembali ke Parlimen dan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir, 93, semalam berjanji untuk bersara menjelang usia 95 tahun.

Anwar ditentang veteran tentera udara Nazari Mokhtar dari PAS dan bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad yang bertanding Bebas.

Bekas pembantu Anwar yang merupakan pengadu dalam kes Liwat II juga bertanding Bebas dalam pilihan raya kecil ini dan sudah mula menyebut kes berkenaan semasa kempen.

Tiga lagi calon Bebas – Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen – bertanding menjadikan PRK Port Dickson pertandingan tujuh penjuru.

PRK ini diadakan selepas penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah dari PKR meletak jawatan sebagai ahli Parlimen pada 12 September untuk ditandingi Anwar.

Danyal memenangi kerusi tersebut dalam PRU14 dengan 36,225 votes, menewaskan calon Barisan Nasional Mogan Velayatham dan Mahfuz Roslan dari PAS.

PRK Port Dickson akan diadakan Sabtu ini. – 8 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan