Iklan

Anwar pasti menang tapi pengundi belum teruja

The Malaysian Insight6 years ago8th Oct 2018Berita
Port dickson by-election anwar 20181007 tmihasnoor 002
Dalam kempen PRK Port Dickson, Anwar Ibrahim, bakal perdana menteri mendahuluinya dan dijangka menang kerusi Parlimen itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Oktober, 2018.
Iklan

ANWAR Ibrahim mendahului dalam kempen yang sudah melepasi peringkat pertama dan ramai percaya bahawa calon Pakatan Harapan (PH) itu sudah pasti menang kerusi Port Dickson.

Namun persoalannya adalah sama ada Anwar akan dapat majoriti besar seperti diraih bekas ahli Parlimen mereka Danyal Balagopal Abdullah yang berundur demi “Langkah Port Dickson”.

Anwar sendiri mengakui bahawa orang Port Dickson baru mula mesra dengannya, tidak seperti di kerusi Permatang Pauh yang diwakilinya sejak lama.

“Permatang Pauh lain sebab semuanya saudara saya, saya kenal semua,” katanya dalam satu ceramah di Linggi, salah satu DUN yang masih menjadi kubu Barisan Nasional dalam Port Dickson.

Sebab itulah ketua umum PKR berusia 71 tahun itu sanggup menghadiri sehingga 14 program setiap hari untuk membolehkan pengundi Port Dickson mengenalinya.

Seorang pemimpin kanan partinya mengakui bahawa Anwar yang dipasarkan di Port Dickson sebagai “bakal perdana menteri” itu berusaha cukup keras dan melakukan kerja tersusun.

Malah ia sudah cukup berhasil untuk membolehkan Anwar menang, katanya ketika ditemui The Malaysian Insight semasa kempen Anwar di DUN Bagan Pinang.

“Namun berdasarkan bacaan di lapangan, tidak ada euphoria, tidak cukup hebat untuk seorang yang bernama Anwar Ibrahim,” katanya.

Pengundi luar mungkin tak balik

Kebimbangan parti itu adalah sekiranya 30% pengundi yang menetap di luar Port Dickson tidak pulang pada 13 Oktober untuk mengundi “perdana menteri baharu” itu.

Itulah juga sebabnya Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad akan turun berkempen di Bagan Pinang pada hari ini, sehari sebelum pengundi awal daripada kalangan anggota polis dan tentera membuang undi awal.

Calon PAS Nazari Mokhtar berkata dua DUN dalam Port Dickson memberi sokongan kuat kepadanya dan orang Umno kini sudah mesra seperti adik-beradik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 8 Oktober, 2018.

PH menetapkan sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya 18,000 undi majoriti, jumlah undi lebih banyak dan juga sekurang-kurangnya 60% keluar mengundi.

Oleh itu, fokus utama parti tersebut adalah untuk memastikan pengundi luar yang dianggarkan sekitar 30% daripada 58,770 pengundi akan pulang menunaikan tanggungjawab.

Penganalisis juga percaya Anwar tetap akan menang dan lawannya seperti bekas menteri besar Umno, Isa Samad tidak berpeluang di kerusi tersebut walau membentuk pengaruh di Port Dickson sejak lama.

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah, Hamdan Adnan berkata pengundi akan lebih cenderung memilih calon PH kerana mengharapkan faedah pembangunan apabila Anwar menjadi perdana menteri.

“Isa banyak skandal, walaupun dekat 30 tahun mewakili kawasan ini dan sudah sebati dengan Port Dickson. Ramai orang Melayu marah disebabkan kes Felda,” katanya yang juga anak tempatan.

Hamdan yang ditemui ketika meninjau perjalanan kempen berkata, beliau percaya pengundi Cina akan tetap menyokong Anwar walau ramai calon Bebas muncul untuk memecahkan undi masyarakat itu.

“Pengundi Cina lebih pentingkan duit. Mereka mahu dapat untung daripada pertumbuhan ekonomi di sini apabila Anwar menang,” katanya.

Pengundi Cina lebih ramai di dua kawasan DUN – di Lukut (54%) dan Chuah (56%), manakala di Sri Tanjung pula komposisinya lebih sekata di antara tiga kelompok pengundi terbesar. Ketiga-tiganya dikuasai PH.

PAS, Isa pecah undi kawasan Melayu

Isa yang disebut-sebut sebagai lawan Anwar paling kuat itu banyak berkempen melalui ceramah kecil dengan menggunakan anggota jentera Umno dan menumpukan penyokong parti tersebut.

Kawasan tumpuan calon Bebas itu adalah DUN Bagan Pinang dan Linggi yang dikuasai wakil rakyat parti berkenaan. Masing-masing mempunyai jumlah pengundi Melayu 60% dan 72%.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu yakin, orang Port Dickson tahu prestasinya ketika berkhidmat selama 22 tahun di negeri itu.

“Saya mahu jadi MP kerana mahu berkhidmat kepada orang Port Dickson. Saya orang tempatan. Kita tidak mahu orang luar bertanding lagi,” katanya.

Bekas menteri besar Isa Samad yang disebut-sebut sebagai lawan Anwar Ibrahim paling kuat banyak berkempen melalui ceramah kecil dengan menggunakan anggota jentera Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Oktober, 2018.

Jenteranya banyak bergantung kepada kekuatan Umno yang mempunyai 53 cawangan di seluruh Port Dickson. Daripada jumlah ini, separuh daripadanya menyokong Isa, dakwa bekas menteri itu.

“Mereka rakan-rakannya, mereka akan bantu beliau dalam apa cara pun,” kata seorang pembantu Isa.

Menurut calon PAS Nazari Mokhtar pula, kedua-dua DUN berkenaan memberi sokongan kuat kepada beliau dan orang Umno kini sudah mesra seperti “adik-beradik”.

“Kita ada kerjasama dengan orang-orang Umno terutama kalangan pemimpin yang tidak dilantik. Mereka ini memberi banyak ruang dan kemudahan kepada kita untuk perjumpaan,” katanya.

Berdasarkan bacaannya setakat ini, beliau yakin akan mendapat 25% undi dan Isa juga akan mendapat 25% undi.

“Selebihnya mungkin memihak kepada Anwar,” katanya yang mendakwa orang Umno di Bagan Pinang dan Linggi tidak akan menyokong bekas timbalan perdana menteri itu.

Calon Bebas pecah undi selebihnya

Kempen Anwar juga tidak sunyi daripada kritikan, terutama kalangan calon Bebas yang mendakwa usaha Anwar tidak banyak berbeza dengan amalan kempen pemimpin kerajaan terdahulu.

Namun calon Bebas tentunya mustahil dapat menang. Yang paling menonjol, Saiful Bukhari Azlan berkata beliau setakat ini sudah berjaya bertemu dan bersalam dengan sekitar 4,000 pengundi.

Saiful Bukhari Azlan dikatakan calon Bebas paling menonjol dalam PRK Port Dickson dan dikatakan sudah berjaya bertemu dan bersalam dengan sekitar 4,000 pengundi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Oktober, 2018.

Daripada jumlah itu, 2,500 orang mengisytiharkan akan memilih beliau, dakwanya.

Beliau mengubah strategi kempen bermula pertengahan kempen ini dengan mengadakan ceramah dan mengambil peluang mengungkit dakwaan Liwat II.

Seperti juga Saiful, seorang lagi calon bebas, Stevie Chan banyak menumpukan kempen di kawasan tumpuan umum di sekitar bandar pelancongan ini.

Setiausaha akhbar Chan, Qayyum Jumadi berkata beliau tidak begitu pasti peratusan pengundi yang sudah ditemui pasukan kempen mereka namun akan meneruskan usaha tersebut.

“Kami sudah pergi ke hampir semua pusat daerah mengundi dan akan pergi (ke lebih banyak kawasan) lagi,” katanya.

Seorang lagi calon Bebas, Lau Seck Yan, 51, berkata mereka menyasarkan agar kempen itu dapat mencapai 50% daripada pengundi.

“Perang saraf saya berjaya menawan hati dan minda pengundi yang ditemui,” katanya yang juga menyasarkan kawasan tumpuan umum selain kunjungan rumah ke rumah.

Seorang lagi calon Bebas adalah Kan Chee Yuen yang juga memfokuskan kempen di kawasan tumpuan umum. – 8 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan