Pecah pintu dalam serbuan khalwat menyalahguna kuasa, kata Mujahid
Iklan
PIHAK berkuasa agama yang memecah pintu dalam serbuan khalwat menyalahguna kuasa mereka kerana tindakan tersebut bukan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi kes melibatkan khalwat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.
“Kes-kes pecah pintu tidak mengikut SOP. Jika terdapat kes seperti itu, bermakna mereka menyalahgunakan kuasa,” beliau memberitahu pemberita pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.
Mujahid yang menjaga hal-ehwal agama berkata pihak berkuasa hendaklah menyelidiki dahulu laporan kes khlawat yang dibuat oleh orang awam.
“Dalam Islam, anda perlu mempunyai prosedur yang jelas sebelum melakukan serangan sedemikian. Inilah maksud yang sebenarnya.
“Bukan terus masuk ambil maklumat dan terus buat serbuan,” kata Mujahid.
Waran untuk serbuan hanya akan dikeluarkan selepas siasatan menyeluruh dijalankan, tambah beliau.
Selain itu, beliau juga berkata kementerian akan mengkaji cara-cara untuk memperbaiki SOP yang ada ketika ini untuk memastikan setiap pasukan penguat kuasa mempunyai bukti kukuh sebelum bertindak.
“Kita sedang melihat cara untuk perbaiki supaya semua isu berkenaan penguatkuasaan mesti mempunyai bukti kukuh dan juga alasan kuat serta sama ada ia dilakukan di tempat awam.”
Aktiviti maksiat yang dilakukan secara peribadi Mujahid bukanlah urusan kerajaan, tetapi sekiranya ia berlaku di ruang persendirian di kawasan perumahan, jiran-jiran yang menyedari perkara itu perlu menasihatkan pelaku.
“Beri nasihat dulu, beritahu apa yang mereka buat itu salah. Selepas semua cara sudah dibuat dan ia masih berterusan dan mengganggu orang awam, maka datang berjumpa dengan kami.
“Dan kita tak terus kata pergi buat serbuan. Ada beberapa isu tertentu yang perlu kita selidik dan ada perkara yang perlu diperbaiki,” kata Mujahid.
Sementara itu, BH Online melaporkan Mujahid kecewa dengan sikap segelintir agamawan yang melulu mengkritiknya berkenaan laporan The Star yang memetik beliau sebagai bekata pihak berkuasa agama tidak akan lagi mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam untuk menyiasat dan menjalankan operasi khalwat serta kesalahan maksiat lain.
Menurut Mujahid sekiranya agamawan ini menghormatinya, mereka tentu terlebih dahulu mendengar penjelasannya sebelum mengutarakan sebarang pandangan.
“Ada sesetengah orang tidak tengok transkrip penuh (yang dimuat naik di Facebook Mujahid), hanya ambil tajuk lalu maki hamun dan cerca. Macamlah menteri agama ini bodoh sangat, macamlah menteri agama ini tak ada agama dalam diri dia.
“Kalau yang cakap itu orang di media sosial saya tidak kisah kerana bukan peringkat kita nak bincang dengan mereka, tetapi ada yang bercakap ini agamawan, mereka yang dihormati masyarakat.
“Paling tidak, ambillah sikap meminta penjelasan daripada menteri dulu apa sebenarnya yang dikata, jika kita hormat dia tapi kalau tak hormat dia, memang dari awal lagi akan belasah.
“Akhirnya apabila saya tegur kesilapan tajuk itu dan minta mereka baca transkrip sepenuhnya, mana kita nak letak muka,” beliau dipetik berkata oleh BH Online.
Sabtu lalu The Star menyiarkan temubual eksklusif bersama Mujahid menggunakan tajuk “No more night khalwat raids or intrusion into Muslims’ private lives, says Mujahid”.
Artikel tersebut kemudiannya mencetus kemarahan dalam kalangan konservatif Islam, agamawan dna ahli politik.
Mujahid menafikan berkata tiada lagi serbuan khalwat dan meminta akhbar itu memohon maaf dalam tempoh 24 jam. – 8 Oktober, 2018.