Dr Mahathir terbaik untuk pimpin Malaysia sekarang, kata Anwar
Iklan
DR Mahathir Mohamad adalah orang terbaik mengetuai negara sekarang berikutan kesilapan yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, kata Anwar Ibrahim hari ini.
“Sebab itulah saya bersama dia untuk melihat ke hadapan.
“Saya kenal dia, saya suka dia sebagai bapa dan pemimpin. Saya berjuang melawannya tetapi saya menerima bahawa dia adalah orang yang terbaik untuk pimpin Malaysia sekarang. Saya serahkan kepada Dr M dan kebijaksanaannya,” katanya lagi.
Berucap di ceramah mega Pakatan Harapan di Port Dickson malam ini, calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Port Dickson, Anwar berkata Perdana Menteri adalah orang yang tepat untuk membetulkan kesilapan yang ditinggalkan bekas perdana menteri Najib Razak.
Beliau menambah bahawa PH terkejut melihat keadaan negara selepas kemenangannya dalam PRU14.
“Tiada siapa yang akan menerima bahawa keadaan negara akan menjadi seburuk ini. Kami tidak mewarisi ekonomi yang kukuh.
“Najib telah memusnahkan banyak institusi. Institusi rakyat seperti Felda, Tabung Haji, perkhidmatan awam semuanya telah musnah.
“Jika anda bertanya kepada saya. Dalam keadaan ini, Dr Mahathir harus memimpin negara,” katanya disambut tepukan gemuruh dari orang ramai kira-kira 5,000 orang.
Ini kali pertama Anwar dan Dr Mahathir muncul di atas satu pentas dalam masa 20 tahun.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu, membuat keputusan menghadiri kempen pilihan raya untuk menunjukkan sokongan kepada Anwar. Kebiasaannya, seorang perdana menteri tidak akan berkempen dalam PRK.
Anwar turut bercakap tentang hubungannya dengan Dr Mahathir, termasuk pemecatannya daripada kerajaan dan dipenjarakan 20 tahun lalu.
“Ini kali pertama saya memberikan ucapan dengan rakan lama saya Dr Mahathir selepas 20 tahun
“Hubungan kami penuh sejarah. Saya telah berkhidmat di bawahnya sehingga saya menjadi timbalan perdana menteri. Ia adalah satu hubungan luar biasa. “
Pilihan raya kecil Port Dickson pada Sabtu ini membolehkan Anwar, yang juga memenangi jawatan presiden PKR tanpa bertanding, untuk membuat kemunculan kembali di Parlimen.
Di bawah perjanjian Pakatan Harapan, Anwar dijangka menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan.– 8 Oktober, 2018.