Saya ketepi perbezaan dengan Anwar demi selamatkan negara, kata Dr Mahathir
Iklan
Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pengundi Port Dickson bahawa beliau dan Anwar Ibrahim sudah mengenepikan perbezaan di antara masing-masing demi menyelamatkan negara daripada “kerajaan penyangak”.
Perdana menteri itu mengakui bahawa hubungan Anwar dengannya tidak berapa baik sebelum ini tetapi beliau mereka bersatu semula untuk tujuan itu.
“Kalau saya nak fikir perkara itu kalau Anwar nak fikir tentang apa yang terjadi kepada dia saya tak fikir kita boleh bersatu,” katanya.
Begitu juga dengan para pemimpin lain termasuk Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dipenjara semasa beliau menjadi perdana menteri keempat, katanya.
“Mereka rela lupakan yang lama kerana menghadapi cabaran baru dan saya juga demikian. Kalau nak kira yang lama, macam nama diberi kepada saya, Mahazalim, macam-macam nama.
Tambah Dr Mahathir, para pemimpin Pakatan sebelum ini memberi banyak gelaran buruk kepadanya tetapi beliau tidak mengendahkan perkara itu.
“Kononnya saya diktator… Bagilah nak bagi apapun, nama saya Mahathir Mohamad, bukan Mahathir bin Kutty,” katanya lagi disambut tepukan dan sorakan.
“Untuk ini kita tak perlu kira yang lama. Kalau fikir kelahi lama kita tak boleh bersatu, tapi matlamat kita lebih besar dari kita sendiri atau bagi parti kita.
“Matlamat kita adalah untuk jatuhkan kerajaan zalim yang dunia kenal sebagai kleptokrasi, kerajaan penyangak,” katanya.
Beliau tiba di Port Dickson dalam hujan yang renyai sejak petang tadi pada malam sebelum pengundian yang bermula esok.
Pengundian awal itu melibatkan sekitar 7,200 pengundi awal dari kalangan anggota tentera, polis dan pasangan mereka.
Dalam ucapan terdahulu, Anwar pula memberitahu, beliau sanggup bekerjasama dengan Dr Mahathir atas sebab sama walau sebelum ini berdendam dengan bekas ketuanya itu
Katanya, sebagai perdana menteri, Dr Mahathir sememangnya tidak pernah berkempen untuk pilihan raya kecil.
“Saya rasa agak sayalah, kasih yang dulu yang (terpendam) itu menyemarak semula. Saya tahu orangnya tegas dia mugkin senyum tapi dia tegas dan sikap dia keras.
“Kalau dia buat keputusan, setelah buat pertimbangan atas kepentingan negara,” katanya lagi yang disambut tepukan dan sorakan kira-kira 3,000 orang yang hadir.
Tambahnya beliau sebelum ini menentang Dr Mahathir tapi kini kembali sayang demi usaha mereka untuk memulihkan semula negara.
“Saya kenal dia, saya sayang dia sebagai seorang bapa dan pemimpin. Saya lawan dia sebelum ini tapi sekarang saya terima dialah orang terbaik untuk memimpin Malaysia sekarang.
“Sebab itulah saya bersama dengannya untuk maju ke hadapan,” katanya lagi.
Turut berucap di ceramah mega di bandar Port Dickson itu adalah barisan menteri kanan, Mohamad Sabu, Lim Guan Eng, Wan Azizah Wan Ismail dan juga calon Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim. .– 8 Oktober, 2018.