Iklan

Saya tembak Guan Eng kalau tak dapat lebihan, usik PM

Port dickson by-election mahathir anwar 20181008 tmihasnoor 012
Dr Mahathir mengatakan Pakatan Harapan mewarisi kewangan yang teruk daripada kerajaaan terdahulu dan hutang negara kini masih melebihi paras RM1 trilion.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain , 8 Oktober, 2018.
Iklan

DR Mahathir Mohamad berkata beliau meletakkan tanggungjawab besar di bahu Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk memulihkan ekonomi sehingga Malaysia mencatat lebihan semula.

Ini memandangkan, kerajaan Pakatan Harapan mewarisi kewangan yang teruk daripada kerajaaan terdahulu dan hutang negara kini masih melebihi paras RM1 trilion.

“Soal kewangan kita serah kepada Lim Guan Eng kerana dia dapat jadikan kerajaan negeri Pulau Pinang mempunyai surplus (lebihan pendapatan).

“Kita harap dapat (catat lebihan) tidak lama lagi. Kalau tidak saya tembak dia.. Eh jangan,” katanya secara berjenaka dalam ucapan semasa berkempen di Port Dickson pada malam ini.

Kenyataan bersahajan itu disambut dengan ketawa oleh kira-kira 5,000 hadiri dan juga Lim yang turut sepentas dengan Dr Mahathir.

Jelasnya lagi, Lim dipertanggungjawabkan untuk memulihkan ekonomi seperti yang dilakukan di Pulau Pinang – sehingga negeri tersebut berjaya mencatat lebihan.

Perdana menteri juga menjelaskan bahawa hukuman tembak dijalankan oleh negara tertentu untuk pesalah rasuah, tetapi Malaysia tidak akan bertindak “bengis” seperti itu.

“Kita akan buang saja mereka,” katanya lagi yang memberi ikrar bahawa kerajaan pimpinannya itu akan berkhidmat dengan bersih dan bebas rasuah.

Turut berucap dalam ceramahnya adalah timbalannya Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan juga calon Pakatan untuk Port Dickson, Anwar Ibrahim.

Pengundian awal untuk pilihan raya kecil ini akan berlangusng esok melibatkan lebih 7,200 orang anggota tentera dan polis.

Pengundian akan berlangsung pada 13 Oktober.– 8 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan