Iklan

Walau diberi pampasan, legasi tetap hilang, kata nelayan Tanjung Kupang

Yvonne Lim6 years ago9th Oct 2018Berita
Forest city tmikamal 24
Kawasan pesisir pantai di sekitar Tanjung Kupang yang menjadi sumber pencarian hasil laut bagi nelayan tempatan.– Gamar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Oktober, 2018
Iklan

BELIAU merupakan nelayan yang menyambung legasi ayah dan datuknya yang juga merupakan anak laut. Namun Shalan Ju’at tidak membenarkan anak-anaknya mengikut jejak langkah beliau. 

Kenapa? Kerana laut semakin mengecil,” katanya yang berusia 25 tahun.

Shalan merupakan salah seorang penduduk di Tanjung Kupang, Johor yang menyara hidup - dan menyambung legasi sebagai nelayan - kini diancam pembangunan di kawasan sekitar seperti pengembangan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan baru-baru ini, projek mega Forest City yang mula dibangunkan pada 2016. 

Projek besar Forest City berkeluasan 3,425 ekar dan juga pembesaran PTP, kebanyakannya dimajukan di atas tanah yang ditambak dari laut yang menjadi tempat nelayan untuk menangkap ikan.

Di bawah Lebuhraya Tanjung Pelepas yang menghala pintu masuk utama Forest City, kelompok kecil rumah kampung yang rampas, sesetengah ditinggalkan, menonjolkan landskap, mewujudkan kontra berbeza dengan projek bernilai AS$100 bilion (RM400 bilion).

“Kami telah dipindahkan sebanyak tiga kali,” kata Shalan kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di jeti Kampung Pendas yang sesak.

 “Sekiranya mereka cuba pindahkan kami lagi, saya rasa nelayan akan memberontak.”

Shalan berkata sebelum 2012, iaitu sebelum pembesaran PTP memasuki ke kawasan pesisir mereka, setiap nelayan mampu meraih sekurang-kurangnya 50 kilogram hasil tangkapan ketam bunga. Kini, ia berkurangan kepada hanya 2 kilogram. Adakalanya mereka pulang tangan kosong. 

“Nelayan terpaksa ke keluar lebih jauh ke tengah laut, adakalanya memberi risiko kepada nyawa mereka kerana keadaan laut yang sukar dijangka, atau apabila mereka memasuki perairan Indonesia atau Singapura. 

“Ia sangat bahaya, dan saya sendiri tidak berani. Tetapi mereka tiada pilihan, kerana mereka tidak lagi mampu untuk bergantung kepada tangkapan di perairan ini,” tambah Shalan. 

Beliau berkata, kebanyakan nelayan di sini terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, terpaksa melakukan beberapa pekerjaan untuk menyara keluarga. Ada yang memandu teksi, dan mengambil upah membawa pelancong yang berminat untuk memancing di laut. 

Sementara itu, dalam temubual dengan The Malaysian Insight, jurucakap Forest City Ng Zhu Hann berkata pemaju projek Country Garden sudah memberi pampasan dalam jumlah yang besar kepada mereka yang tinggal di perkampungan berhampiran pembangunan itu dalam bentuk wang tunai.

“Kami mengadakan pertemuan dengan persatuan nelayan…Sekiranya projek kami memberi kesan kepada sumber pendapatan mereka, kami akan pastikan sumber pendapatan mereka dijaga dengan pampasan yang sewajarnya,” katanya.

Jurucakap Forest City Ng Zhu Hann berkata pemaju projek Country Garden sudah memberi pampasan dalam jumlah yang besar kepada penduduk sekitar yang terlibat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Oktober, 2018

Ng, yang merupakan Pengarah Strategi untuk Country Garden Pacificview (CGPV), menambah selain nelayan, penduduk sekitar lain di kawasan itu juga mendapat faedah daripada sumbangan syarikat. 

“Kami bekerjasama dengan ketua kampung. Kami adakan projek tanggungjawab sosial korporat, menderma kepada kemudahan agama setempat seperti surau dan masjid.

“Dari segi pendidikan, sekolah (di kampung terbabit) mendapat tajaan daripada kami, bukan sahaja operasinya, tetapi juga dalam pendidikan pelajar, kelas bahasa mereka, kelas tambahan. Selain dari it, kami membantu membina kemudahan kepada sekolah seperti wakaf,” katanya.

Dokumen yang dilihat The Malaysian Insight menunjukkan sekurang-kurangnya RM4 juta wang tunai diberikan oleh Country Garden kepada Persatuan Nelayan Selatan Johor. Badan konservasi bukan kerajaan tempatan, Kelab Alami, yang diketuai Shalan, diberi kira-kira RM200,000. 

Shalan berkata Kelab Alami menggunakan wang berkenaan untuk membiayai program konservasi, dan juga program yang membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan mereka. 

Ketiak ditanya bagaimana wang yang diberikan kepada persatuan nelayan diagihkan, Shalan berkata tidak semua akan mendapat bahagian mereka. 

“Persatuan itu berkata hanya nelayan ‘sebenar’ yang berlesen diberikan wang berkenaan dan mereka menjalankan temudugan untuk memastikan siapa yang layak,” katanya. 

“Namun terdapat nelayan yang sangat memerlukan bantuan, dan sumber pendapatan mereka bergantung kepada hasil tangkapan di laut, tetapi mereka tidak mendapat wang. Dan ada daripada mereka yang tidak pernah keluar ke laut, tetapi dapat wang.”

Selain menangkap ikan, Shalan dan isterinya menampung hidup dengan pendapatannya sebagai guru, dan juga menjadi orang tengah menjual hasil tangkapan nelayan kepada pelanggan di Kampung Pendas. 

Johari Lasim yang dikenali penduduk setempat sebagai Pak Atan, mula menangkap ikan di Tanjung Kupang sejak 54 tahun lalu ketika berusia 13 tahun. Seperti kebanyakan penduduk di kawasan itu, beliau juga menyara hidup sebagai nelayan. 

Bagaimanapun, pada usia 67 tahun, anak-anaknya sudah membesar dan tiada seorang pun menjadi nelayan, Pak Atan melabuhkan pukatnya dan memancing hanya untuk suka-suka sahaja. 

Walaupun sedih dengan kawasan pesisir yang pernah memberi sumber pencarian kepada generasi keluarganya sudah hilang, beliau kurang mengkritik pembangunan yang sedang berlaku. 

“Kita kena terima sahaja. Diharap nelayan di sini diberi pampasan seadilnya dan tidak diabaikan,” katanya. 

Namun bagi orang muda seperti Shalan, masa depan masih lagi suram dan tiada harapan. Beliau enggan berpindah daripada kediaman asalnya untuk mencari kehidupan lebih baik, tetapi percaya pasti ada cara lain. 

“Tiada kepastian kawasan ini akan wujud lagi pada masa akan datang. Walaupun kami mahu perjuangkannya, kami hanya nelayan biasa, kami tiada daya,” katanya.

“Seperti yang saya katakan, laut sudah mengecil, dan kita kena fikirkan jangka masa panjang.” – 9 Oktober, 2018
 

Iklan
Iklan