Iklan

Pengundi India jadi ‘kingmaker’ kemenangan Anwar di Port Dickson

Kamles Kumar6 years ago9th Oct 2018Berita
Port dickson by-election anwar 20181005 tmihasnoor 001
Calon PH di PRK Port Dickson, Anwar Ibrahim berbual dengan pengundi India ketika berkempen di Bukit Pelandok, baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2018.
Iklan

PENGUNDI India akan menjadi penentu atau “kingmaker” dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Sabtu ini, menurut dapatan badan kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE).

Ia mendapati bakal Presiden PKR Anwar Ibrahim memperoleh 80% undi India di kerusi Parlimen itu dan boleh menarik baki 20% lagi memihak kepadanya, kata Ketua Pengarah Eksekutif IDEA Dr Mohammad Redzuan Othman kepada The Malaysian Insight.

Pengundi India membentuk 22% atau 17,000 daripada pengundi Port Dickson. Sejumlah besar daripada mereka tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lukut dan Chuah, iaitu dua daripada lima DUN di bawah Port Dickson.

Redzuan berkata Anwar boleh menarik baki undi menerusi interaksi lebih banyak dengan masyarakat itu, di mana itulah yang sedang dilakukan calon Pakatan Harapan (PH) itu sejak beberapa hari lalu, menghadiri beberapa acara, berpakaian tradisi India dan menari bersama dengan lagu Tamil.

“Setakat ini, sokongan pengundi India sudah 80%. Dengan menyanyi dan menari setiap malam, ia boleh jadi lebih tinggi menjelang hari mengundi,” kata Redzuan.

Anwar dapat sokongan masyarakat India, sebahagiannya kerana beliau bakal perdana menteri mengikut pelan penyerahan kuasa untuk PH, kata Redzuan.

Harapan dan jangkaan pengundi tinggi terhadap ahli Parlimen yang juga perdana menteri akan dapat menjaga dan membangunkan bandar tepi pantai itu yang berdepan masalah peluang pekerjaan dan industri pelancongan yang suram.

Bakal Presiden PKR Anwar Ibrahim memperoleh 80% undi India di kerusi Parlimen Port Dickson dan boleh menarik baki 20% lagi memihak kepadanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2018.

Anwar akan berdepan enam lagi calon; bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad, calon PAS iaitu pesara tentera udara Mohd Nazari Mokhtar, bekas pegawai khas Anwar dalam kes liwat Mohd Saiful Azlan Bukhari dan tiga calon bebas.

Undi masyarakat India juga undi penentu kerana pengundi Melayu mungkin terpecah antara Anwar, Isa dan calon PAS, sementara bagi undi Cina ada kebimbangan yang walaupun sokongan untuk Anwar kuat, tetapi mungkin tidak mencukupi jika mereka tidak pulang untuk mengundi.

Redzuan berkata kaji selidik IDE dijalankan menggunakan kaedah temu bual berdepan dengan 1,084 Melayu, Cina dan India selama tiga hari dari 28 September hingga 30 September. Kaji selidik dibuat di lima kerusi DUN dan 32 daerah mengundi di Port Dickson, yang mempunyai 75,770 pengundi berdaftar.

Kaji selidik itu tidak mengambil kira 40% pengundi berdaftar yang tinggal di luar Port Dickson.

Kerusi itu sebelum ini kubu kuat MIC sebelum PKR memenanginya pada 2008.

Menurut kajian, bila Anwar Ibrahim menyanyi dan menari setiap malam dengan lagu Tamil, beliau akan dapat menarik lebih ramai pengundi India menjelang 13 Oktober. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2018.

Redzuan berkata Isa yang juga bekas pemimpin Umno tidak mendapat sokongan penuh pengundi India kerana tidak banyak dapat ditawarkannya berbanding calon daripada parti kerajaan memerintah.

“Pengundi Cina dan India rasanya tidak akan mengundi Isa. Sebelum ini, dia ada Umno dan parti itu dapat memberi mereka sesuatu. Tetapi sekarang mereka tidak dapat apa-apa jika undi Isa. Sekurang-kurangnya PH dapat menjanjikan sesuatu untuk mereka,” katanya.

Redzuan, yang juga naib canselor Universiti Selangor berkata Anar mungkin dapat menarik sebahagian undi daripada Umno dan MCA, memandangkan MIC tidak bertanding pada PRK itu.

“Umno dan MCA selalunya mengundi MIC ketika era Barisan Nasional tetapi mereka mungkin mengundi untuk Anwar atau boikot PRK itu. Mereka tidak mungkin mengundi PAS atau Isa,” kata Redzuan.

Selain masyarakat India, pengundi Port Dickson terdiri daripada 43% Melayu, 33% Cina dan 2% lain-lain. – 9 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan