Putrajaya perlukan cukai baharu untuk bayar hutang, kata PM
Iklan
PUTRAJAYA mungkin perlu merangkap cukai baharu untuk membayar hutang negara yang terlalu banyak, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau mengakui langkah itu mungkin tidak diterima baik oleh kebanyakan pihak, tetapi ia antara cara yang sedang dikaji oleh kerajaan untuk melangsaikan hutang RM1 trilion.
“Dicadangkan untuk kita mempunyai cukai baharu. Saya tidak fikir ia sesuatu yang disambut oleh rakyat.
“Tetapi kita mungkin perlu mengenakan cukai baharu untuk mendapatkan wang membayar hutang kita,” kata perdana menteri pada persidangan pelaburan “Malaysia: A New Dawn” di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, pakar ekonomi pemenang anugerah Nobel, Joseph Stiglitz berkata pelbagai cukai boleh diperkenalkan untuk merangsang ekonomi negara. Antara yang disebutnya ialah cukai warisan, cukai keuntungan modal dan cukai harta untuk pemegang banyak hartanah.
Stiglitz bertemu Dr Mahathir selama kira-kira sejam dan berkata pertemuan itu menyentuh tentang isu ekonomi di Malaysia dan secara global.
Di samping rancangan memperkenalkan cukai baharu, Putrajaya mungkin perlu menjual lebih banyak aset, kata Dr Mahathir pada persidangan itu.
Perdana menteri berkata walaupun beliau tidak bersetuju penjualan tanah kepada warga asing, tanah milik kerajaan masih boleh dijual kepada pelabur tempatan untuk membangunkan projek.
Beliau berkata langkah itu sedang dipertimbangkan kerana “sekarang kita tidak tahu di mana wang (kerajaan) itu berada, jadi kita perlu mencari sumber lain”.
Putrajaya mengumumkan hutang kerajaan RM1 trilion dan itu termasuk pinjaman di bawah kerjasama swasta-awam yang tertentu, di mana kerajaan terdahulu di bawah Barisan Nasional dipersalahkan kerana melangkaui had hutang negara. – 9 Oktober, 2018.