SPR sahkan Anwar masih calon PRK Port Dickson
Iklan
ANWAR Ibrahim masih calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson walaupun ada cabaran undang-undang dibuat terhadapnya oleh seorang pengundi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata bakal presiden PKR itu calon yang sah berdasarkan pengetahuan SPR dan sebarang tindakan oleh mahkamah yang berbanding daripada saman itu adalah perkara berasingan.
“Kami terima pencalonan Anwar berdasarkan kepada pengampunan diterimanya daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Oleh itu, Anwar Ibrahim ialah seorang calon dan bertanding dalam PRK,” kata Azhar pada sidang akhbar selepas melawat proses mengundi awal di Pusat Latihan Tentera Darat (PUSASDA) hari ini.
Seorang pengundi berdaftar di Port Dickson, Noraziah Mohd Shariff pada 29 September memfailkan saman pemula terhadap Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan untuk mencabar kelayakannya bertanding dalam PRK itu.
Noraziah berkata pengampunan yang diberikan kepada Anwar tidak melayakkannya bertanding dalam piihan raya susulan sabitannya atas dakwaan meliwat.
Azhar berkata kes itu sudah ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Katanya, SPR akan membuat keputusan berhubung status Anwar selepas keputusan mahkamah dikeluarkan.
Beliau berkata tidak ada isu dengan calon bebas Stevie Chan yang membuat laporan polis terhadap Anwar yang didakwa memberi rasuah ketika tempoh berkempen.
“Stevie berhak sebagai calon dan rakyat untuk membuat laporan. Kita tidak tahu tentang itu dan biarlah polis membuat siasatan,” katanya.
Chan membuat laporan polis semalam mendakwa Anwar menjanjikan pelbagai perkara ketika kempen termasuk membina hotel lima bintang, program pendidikan online secara percuma dan urus niaga penerbangan dengan AirAsia. – 9 Oktober, 2018.