Percubaan khidmat 5G mula bulan depan, kata menteri
Iklan
PERCUBAAN untuk rangkaian mudah alih generasi kelima (5G) akan dimulakan di Cyberjaya dan Putrajaya pada 1 November selama setahun, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengetuai percubaan itu. Pasukan itu terdiri daripada kerajaan tempatan Cyberjaya dan Putrajaya.
“Ujian perkhidmatan 5G diperlukan bukan saja untuk teknologi, tetapi juga bagi membolehkan kerajaan mengenal pasti perancangan dasar, peraturan dan spektrum kerana penyebaran NR 5G akan ditandakan secara berbeza daripada standard terdahulu,” kata Gobind pada sesi dialog persidangan pelaburan Malaysia: A New Dawn di Kuala Lumpur hari ini.
Cyberjaya dan Putrajaya dipilih sebagai kawasan ujian untuk 5G kerana bandar-bandar ini lengkap dengan infrastruktur, katanyya.
“Bermula November 2018 untuk tempoh setahun, syarikat telekomunikasi, vendor, penyelidik, pemula dan penerima teknologi akan dijemput melaksanakan cubaan 5G di Cyberjaya dan Putrajaya bagi meneroka penggunaan praktikal dan kaedah pelaksanaan,” kata Gobind.
Beliau berkata lesen Penyedia Kemudahan Jaringan (NFP) dan Penyedia Perkhidmatan Jaringan (NSP) akan diliberalisasikan untuk mempromosikan persaingan dalam industri, diikuti dengan faedah untuk pengguna.
Katanya, liberalisasi untuk kedua-dua lesen itu akan membolehkan Malaysia menarik pusat data utama, menjadikan ia hab serantau.
Beliau memetik beberapa kelebihan yang negara miliki seperti lokasi strategik sebagai negara di Asia Tenggara.
“Syarikat gergasi antarabangsa seperti Google, Facebook, Microsoft dan Amazon patut jadikan Malaysia pusat data mereka,” katanya. – 9 Oktober, 2018.