Anwar mahu keluarkan kaum India daripada kemiskinan melalui pendidikan
Iklan
ANWAR Ibrahim berjanji untuk membantu kaum India miskin di Port Dickson dengan meningkatkan status sosio-ekonomi mereka melalui pendidikan.
Sebagai permulaan, calon pilihan raya itu berkata beliau memperkenalkan tuisyen percuma untuk murid darjah satu hingga tingkatan lima di bandar tepi pantai itu.
“Bagi saya, pendidikan adalah nombor satu. Jika ibu dan ayah bekerja di estet, kita tidak mahu anak itu bekerja di estet juga. Kita mahu anak-anak bekerja sebagai peguam, guru dan doktor,” kata Anwar ketika bercakap di sebuah kuil Hindu di Lukut, Port Dickson.
Bekas timbalan perdana menteri itu menegaskan “pendidikan percuma” akan memperbaiki kehidupan setiap orang di Port Dickson.
Anwar menambah beliau seorang “buta warna” dan akan memberikan layanan yang saksama kepada setiap kaum sekiranya memenangi pilihan raya kecil pada Sabtu ini.
“Sebelum saya tiba di sini, saya membayangkan PD adalah hotel mewah dan pantai yang menarik. Saya lihat kampung nelayan Melayu di sini dalam keadaan yang teruk, begitu juga kaum India di estet dan nelayan Cina paling teruk. Itulah sebabnya program diperlukan untuk menjaga mereka,” katanya kepada sekumpulan 60 komuniti India malam tadi.
Menteri Luar Negara Saifuddin Abdullah, Ramkarpal Singh daripada DAP, bekas menteri Zaid Ibrahim dan Fahmi Fadzil daripada PKR turut hadir.
Anwar berkata tiada salahnya beliau untuk bertanding dalam pilihan raya selepas terpaksa meninggalkan arena politik negara selama 20 tahun.
“Saya sudah keluar (dari penjara) dan jika saya mahu menjadi ahli Parlimen, tidak bolehkah? Saya sudah menunggu selama 20 tahun.”
Anwar kemudian berucap kepada pengundi di Bandar Sunggala, yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang.
Ahli politik berusia 71 tahun itu disertai Menteri Pertahanan Mohammad Sabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.
Di Bandar Sunggala, beliau meyakinkan orang ramai terutamanya kaum Melayu yang mereka tidak perlu bimbang hak mereka terancam dengan Pakatan Harapan berkuasa.
“Saya tidak mempunyai masalah membincangkan masalah dengan DAP. Bahkan kita juga turut berbincang mengenai Melayu dengan Lim Guan Eng. Beliau melakukan apa yang boleh (untuk membantu).
“Jika ada masalah dengan DAP, beritahu saya. Saya akan berunding,” Anwar.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 bagi kerusi Parlimen Port Dickson, calon daripada DAP, Danyal Balagopal Abdullah memenangi 36,225 undi, menewaskan calon BN dan PAS yang menerima 18,515 dan 6,594 undi.
PRK diadakan apabila Danyal meletak jawatan untuk memberi peluang Anwar memenangi kerusi di Parlimen.
Anwar menentang enam calon - Mohd Nazari Mokhtar daripada PAS yang merupakan veteran tentera udara, dan lima calon bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Mohd Isa Samad serta bekas pembantu dan pengadu dalam kes liwat Anwar, Mohd Saiful Azlan Bukhari.
Satu kajian oleh Institut Darul Ehsan mendapati Anwar mungkin menang mudah dan tidak mungkin digagalkan oleh saingan terdekatnya Isa yang merupakan bekas Adun Linggi yang mempunyai sokongan di Linggi dan Bagan Pinang. – 10 Oktober, 2018.