Iklan

Anwar tidak perlu terburu-buru untuk jadi PM

Kamles KumarMohd Farhan Darwis6 years ago11th Oct 2018Berita
Port dickson by-election anwar kit siang 20181005 tmihasnoor 008
Calon PRK Port Dickson Anwar Ibrahim perlu meletakkan dirinya sebagai seorang negarawan memandangkan beliau akan menjadi perdana menteri seterusnya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018
Iklan

ANWAR Ibrahim akan memenangi pilihan raya kecil Port Dickson, kata penganalisis politik, yang bagaimanapun mengingatkan bakal presiden PKR itu agar tidak terlalu terburu-buru untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Wong Chin Huat dari Institut Pulau Pinang menyatakan Anwar perlu lebih ke arah menjadi negarawan memandangkan beliau akan menjadi perdana menteri seterusnya.

“Beliau perlu buat imbangan yang betul. Beliau perlu jadi pengantara. Beliau perlu menunjukkan dirinya memiliki pandangan tetapi bukan terburu-buru terhadap Dr Mahathir (Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad),” kata Wong.

Tambahnya, Anwar pada pandangannya semakin tenang sekarang dan tidak terlalu bersikap mempertahankan diri sebelum ini ketika memaksa pilihan raya kecil diadakan bagi memberi alluan kepadanya untuk ke Parlimen.

Bagi Ibrahim Suffian dari Merdeka Centre, kedudukan Anwar, mendominasi Pakatan Harapan dalam negeri dan kerajaan persekutuan akan membantu beliau memenangi pilihan raya kecil itu.

“Anwar akan menjadi pemenang di Port Dickson. Calon bebas lain tidak ada peluang.

“Calon PAS mungkin boleh menarik penyokong tegar tetapi ianya terhad di Port Dickson,” kata Ibrahim kepada The Malaysian Insight.

Pilihan raya kecil Port Dickson diadakan selepas Ahli Parlimennya Danyal Balagopal Abdullah dari PKR bertindak mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

Ia menyaksikan perlawanan tujuh penjuru dengan lima calon bebas. Pencabar Anwar adalah calon PAS Mohd Nazari Mokhtar dan calon bebas Isa Samad yang juga merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen.

Umno dan Barisan Nasional memutuskan untuk tidak menyertai pilihan raya itu.

Bagaimanapun, penganalisis dari Universiti Utara Malaysia Azizuddin Sani berkata, Anwar telah berjaya dalam memainkan status bakal perdana menteri dalam kalangan pengundi Cina dan India di Port Dickson.

Di bawah perjanjian PH, Anwar Ibrahim ditetapkan untuk menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dalam tempoh dua tahun lagi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018

“Tapi orang Melayu, usia lingkungan 45 tahun ke atas tak terbeli dengan idea itu,” kata Azizuddin kepada The Malaysian Insight.

Azizuddin berkata pengundi Melayu dilihat cenderung kepada Isa yang meninggalkan Umno untuk bertanding sebagai calon bebas.

“Kumpulan ini ada sentimen dengan Isa, pemerintahan dia selama 22 tahun dulu. Sentimen Isa masih kuat dalam kelompok ini,” tambahnya.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Ilham Centre Mohd Azlan Zainal berkata pengundi Melayu di Bgan Pinang dan Linggi akan menentukan kekuatan sokongan Melayu kepada Anwar.

Bagaimanapun beliau berbeza pandangan dengan Azizuddin dengan mengatakan era sokongan rakat kepada Isa sudah berakhir.

“Generasi kini sudah menyedari skandal yang menyelubungi Isa, terutamanya isu penyelewengan dalam FGV dan Felda,” katanya.

Beliau juga berkata Anwar bergerak secara agresif ke kawasan Umno di parlimen itu.

Ibrahim bagaimanaun berkata, keputusan Umno untuk tidak bertanding pada pilihan raya itu memberi kelebihan besar kepada Anwar.

Beliau juga mengingatkan jumlah keluar mengundi mungkin kurang pada Sabtu, tetapi ia hanya “ia hanya kehilangan prestij namun ia tidak akan menjadi peenghalang kepada Anwar”.

“Jumlah keluar mengundi sejak pilihan raya umum berkurangan. Saya merasakan ia akan menjadi lebih rendah berbanding peringkat pilihan raya umum kerana pengundi yang tinggal di luar bandar tidak mahu bersusah payah untuk mengundi dalam pilihan raya yang tidak akan membawa perubahan dalam negara.”

Anwar kini berusaha untuk kembali ke Parlimen selepas mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei selepas disabitkan kesalahan liwat.

Selepas dibebaskan dari penjara, Anwar berkata beliau tidak mahu terburu-buru untuk menjadi ahli Parlimen tetapi ia berubah selepas ahli Parlimen dalam partinya menawarkan kerusinya kepada beliau untuk bertanding.

Anwar juga berkata beliau tidak mahu terburu-buru untuk menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri kerana mahu membuat pembaharuan Parlimen.

Pada Rabu, dalam sesi ceramah yang turut dihadiri Dr Mahathir atas kapasiti beliau sebagai pengerusi Bersatu, Anwar berkata beliau adalah yang terbaik untuk menerajui negara kini.

Di bawah perjanjian PH, Anwar ditetapkan untuk menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dalam tempoh dua tahun lagi. – 11 Oktober, 2018

Iklan
Iklan