Peralihan pimpinan Telekom Malaysia bakal muktamad
Iklan
PERALIHAN pimpinan di Telekom Malaysia Berhad (TM) akan muktamad tidak lama lagi selepas pemilihan ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan yang utama kini hampir selesai.
The Malaysian Insight difahamkan bahawa lembaga pengarah TM akan bermesyuarat akhir bulan ini untuk memilih seorang daripada sekurang-kurangnya lima calon yang disenarai pendek sejak pemilihan bermula Ogos lalu.
Lembaga kemudian akan menyerahkan pilihan mereka kepada kerajaan, yang memegang saham kencana dalam TM, untuk kelulusan akhir.
TM, yang berdepan tekanan daripada kerajaan untuk mengurangkan harga dan meningkatkan perkhidmatan jalur lebarnya, beroperasi tanpa CEO sepenuh masa selepas Shazalli Ramly letak jawatan setelah Barisan Nasional kalah PRU14.
Timbalan Shazalli, Bazlan Osman dilantik sebagai pemangku CEO sebagai langkah sementara.
Mereka yang maklum tentang proses peralihan pimpinan di TM berkata Bazlan tidak dipertimbangkan untuk jawatan tertinggi itu. Beliau dikatakan sudah menyuarakan hasrat untuk tidak dilantik sebagai CEO TM.
TM juga antara GLC yang disenarai awam yang akan dikurangkan pemilikan saham sektor awam yang dipegang melalui syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Penjualan pegangan saham itu antara pelan meluas Putrajaya untuk mengurangkan kesan mendesak ke atas sektor swasta, meningkatkan cairan pasaran, dan membantu mengurangkan tanggungan hutang.
Ada spekulasi pasaran bahawa beberapa pemain sektor swasta tempatan dan antarabangsa dalam industri telekomunikasi berminat membeli pegangan dalam TM, termasuk Altel Communications milik kumpulan syarikat AlBukhary dan SK Telekom dari Korea Selatan.
Walaupun sentimen umum terhadap pemilikan asing dalam syarikat strategi utama akan berdepan cabaran, perubahan pegangan dalam TM akan menjadikan syarikat itu lebih mesra pelanggan dan perniagaan. Pemilikan sektor awam yang berkurangan juga akan mengendurkan kawalan kerajaan dan campur tangan langsung.
Harga saham syarikat itu jatuh 15.5% semalam, ditutup pada RM2.55. Harga sahamnya dibuka pada RM2.50 pagi ini. – 11 Oktober, 2018.