Iklan

Anwar tidak perlu jentera kerajaan untuk menang di PD

Kamles KumarMohd Farhan Darwis6 years ago11th Oct 2018Berita
Anwar ibrahim tun mahathir 2018100801 tmiafif 10
Anwar Ibrahim berkata PRK di Port Dickson mencatatkan sejarah sebagai kerajaan pemerintah yang tidak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018.
Iklan

TANPA program kerajaan di Port Dickson tidak akan menyekat pengundi daripada mengundi Anwar Ibrahim pada 13 Oktober, kata penganalisis hari ini.

“Tiada jentera kerajaan dilihat berkempen di Port Dickson. Kalau Barisan Nasional dulu kita nampak kementerian-kementerian buat program, tapi hari ini kita tidak nampak.

“Namun Anwar satu nama besar dan beliau tidak perlukan kerajaan atau kementerian berkempen untuknya,” kata pensyarah Universiti Utara Malaysia Azizuddin Sani kepada The Malaysian Insight hari ini.

Beliau berkata jentera PKR sudah mencukupi untuk membantu Anwar berkempen.

Bagaimanapun, Azizuddin mempertikaikan sejauh mana jentera PKR mampu menarik pengundi untuk keluar mengundi.

Katanya, bonus untuk Anwar ialah dengan kehadiran Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad, yang juga perdana menteri pada malam Rabu untuk satu program ceramah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre Mohd Azlan Zainal berkata isu lebih besar untuk Anwar ialah penampilan ahli politik yang menganjurkan kempen mereka sendiri di Port Dickson bagi menyokong Anwar.

“Ini adalah ahli-ahli politik yang hanya datang tunjuk muka dan bodek Anwar, bakal perdana menteri.

“Mereka mahu memastikan mandat lebih besar untuk Anwar tetapi persoalannya ialah adakah pengundi respons kepada semua itu,” katanya.

Beliau berkata jumlah pengundi yang keluar pada 13 Oktober ini mungkin rendah, jika mengikut corak seperti tiga PRK sebelum ini.

“Bagi saya, cabaran Anwar ialah menghilangkan rasa bosan dalam kalangan pengundi. Walaupun kempen Anwar mendapat liputan media yang luas, pengundi agak dingin tentang PRK.

“Mereka tidak begitu responsif terhadap kempen itu.”

Pada Rabu, Anwar berkata PRK di Port Dickson mencatatkan sejarah sebagai kerajaan pemerintah yang tidak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

“Ini kali pertama dalam sejarah Malaysia satu pilihan raya di mana calon daripada parti pemerintah tidak menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen,” katanya pada satu program.

Katanya, tidak ada sebarang projek pembangunan diumumkan pada PRK ini untuk memikat pengundi.

Pada Ahad, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata ahli politik yang memegang jawatan dalam kerajaan, termasuk menteri tidak sepatutnya terbabit dalam kempen pilihan raya pada waktu pejabat.

Katanya, aktiviti berkempen pada waktu pejabat dianggap penyalahgunaan kuasa dan ahli politik berkenaan tidak sepatutnya menggunakan aset kerajaan untuk tujuan kempen. – 11 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan