Iklan

Saiful Bukhari akan hilang deposit, kata IDE

Mohd Farhan DarwisKamles Kumar6 years ago11th Oct 2018Berita
Saiful bukhari azlan tmikamal 04
Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Saiful Bukhari Azlan tidak akan memperoleh walau satu undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018.
Iklan

CALON bebas Saiful Bukhari Azlan akan hilang wang pertaruhan dan dijangka tidak akan dapat lebih daripada 100 undi pun dalam pilihan raya kecil Port Dickson, kata kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE), badan penyelidik pilihan raya yang dekat dengan PKR.

Timbalan Pengerusi IDE Redzuan Othman berkata daripada 1,084 responden yang ditemui, tiada antara mereka yang menyatakan akan mengundi Saiful.

“Kita beri peluang kepada pengundi, kita senaraikan pilihan calon yang bertanding, tapi tiada yang pilih Saiful,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) di Port Dickson, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak, daripada keseluruhan 75,770 pengundi, Saiful hanya mampu mendapat 100 undi.

“Tapi kalau kita nak cari satu-satu pengundi, sampai hujung tahun pun tak jumpa,” kata Redzuan.

Sejak penamaan calon pada 29 September lalu, IDE menjalankan dua kaji selidik, termasuk yang terbaru pada 8 dan 9 Oktober.

Kedua-dua kajian itu turut menunjukkan Saiful tidak memperoleh undi.

Berdasarkan kaji selidik IDE, Anwar Ibrahim mampu memperoleh undi sebanyak 72% pada PRK Parlimen Port Dickson pada 12 Oktober ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018.

Kajian awal yang dijalankan IDE bermula pada 28 hingga 30 September menunjukkan calon Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim memperoleh 72% undi, diikuti calon bebas, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad menerima 6%.

Manakala calon PAS Mohd Nazari Mokhtar akan memperolehi 4%, calon bebas Stevie Chan memperolehi 2%, serta Lau Seck Yan, Kan Chee Yuen masing-masing memperoleh 1%. Pengundi atas pagar pula membentuk 11%.

Perbezaan bagaimanapun dapat dilihat pada kaji selidik kedua apabila Anwar memperoleh peningkatan sokongan kepada 74%, PAS (11%), Isa (10%), Lau, Kan, dan Stevie masing-masing 1%, manakala pengundi atas pagar pula (2%).

Redzuan berkata perubahan trend itu mungkin disebabkan pengundi Barisan Nasional (BN) tidak akan keluar mengundi, manakala sebahagian undi Melayu akan menyokong Isa.

“Bagi DUN Linggi dan Bagan Pinang, pengundi BN tak undi PAS. Mereka sama ada undi Isa atau kecenderungan ramai tak keluar undi,” katanya, merujuk dua DUN yang dimonopoli BN.

“Anwar guna pendekatan sentuhan peribadi kepada pengundi BN, mereka ini sentimen dengan Anwar.

“Dengan sentuhan peribadi di masjid-masjid, ceramah akan galakkan mereka keluar mengundi Anwar, mereka tidak akan undi PAS.

“Pengundi Umno ini ada sentimen dacing, bila tiada dacing tekanan untuk mereka keluar mengundi,” kata Redzuan. – 11 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan