Iklan

Rais jangan temberang, kata Isa

Kamles KumarMohd Farhan Darwis6 years ago11th Oct 2018Berita
Isa samad 20180928 tmihasnoor 003
Isa Samad mengulas kenyataan Rais Yatim mengenai rekod beliau berkhidmat sebagai menteri besar Negeri Sembilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Oktober, 2018.
Iklan

CALON bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Isa Samad menasihatkan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Rais Yatim agar tidak berbohong mengenai rekod sebagai menteri besar di negeri itu.

Isa berkata, beliau lebih banyak menyumbang pembangunan di Port Dickson ketika menjadi menteri besar selama 22 tahun berbanding Rais yang hanya berkhidmat selama tiga tahun empat bulan.

“Itu pandangan peribadi Rais, kita tahu beliau (selalu) berubah-ubah, bukan menentu. Kita kenal beliau (sudah) lama. Kalau ada peluang dekat Jelebu dia tanding.

“Rais tak usah jual temberang. Semua orang Negeri Sembilan kenal Rais,” kata, Isa, kepada pemberita, di Port Dickson, hari ini.

Rais dalam ceramah kempen PRK Parlimen Port Dickson malam tadi berkata Isa perlu sedar masanya sudah tamat untuk berpolitik.

Bekas penasihat sosio budaya kerajaan itu berkata, Isa perlu beri peluang kepada calon lain untuk membangunkan Port Dickson kerana Isa gagal melaksanakannya sepanjang bergelar menteri besar.

Rais berkhidmat sebagai menteri besar Negeri Sembilan selama sepenggal bermula 1978 hingga 1982, yang kemudiannya digantikan Isa hingga 2004.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Rais Yatim ketika menyampaikan ceramah dalam kempen pilihan raya kecil Port Dickson malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 Oktober, 2018

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Rais meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu.

Isa dilihat menjadi pencabar utama kepada calon Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dalam pertandingam tujuh penjuru merebut kerusi yang dilepaskan penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah dari PKR.

“Beliau (Isa) tak banyak buat (pembangunan)...saya buat macam-macam di Port Dickson, ini semua zaman saya, dia cuma (menjadi menteri besar selama) tiga tahun lapan bulan.

“Pandangan Rais ini kita tak ambil kira, mana ada untung dia masuklah,” kata Isa lagi. 

Keputusan Umno memboikot PRK Parlimen Port Dickson menyebabkan Isa mengambil keputusan keluar Umno dan bertanding atas tiket bebas.

Lima calon lain termasuklah Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar Mohd Nazari Mokhtar dari PAS dan Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu terkait kes liwat Anwar, yang bertanding tiket bebas.

Calon bebas lain adalah Stevie Chan Keng Leong, Lau Seck Yan, dan Kan Chee Yuen.  – 11 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan