Menteri salah guna kuasa bila berkempen di PRK
Iklan
MENTERI tidak sepatutnya berkempen untuk calon ketika pilihan raya umum (PRK) kerana ia dianggap satu kesalahan dan salah guna kuasa, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Pilihan Raya (ERC) Abdul Rashid Abdul Rahman.
Beliau berkata kehadian menteri seperti Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk berkempen bagi calon Pakatan Harapan (PH) di PRK Port Dickson, Anwar Ibrahim, adalah salah terutama jika ia berlaku pada waktu bekerja.
“Seorang atau dua menteri ada datang ke sini, ia tidak sepatutnya berlaku. Perkara seperti ini, tidak ada kawalan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentang benda ini.
“Ia salah guna kuasa menteri dan parti,” kata Rashid pada sidang media pagi ini.
Bekas pengerusi SPR itu berkata beliau akan membuat syor dalam satu laporan di mana ia akan dibentangkan kepada kerajaan membantah berlakunya perkara seperti itu.
“Kami akan beritahu rakyat supaya menjauhi kawasan itu, jangan ambil kesempatan, jangan salah guna kuasa dan aset kerajaan,” kata Rashid.
Beberapa menteri datang ke Port Dickson sepanjang dua minggu lalu untuk kempen Anwar.
Selain Mohamad dan Dr Wan Azizah, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo turut muncul menyokong Anwar.
Rashid berkata ERC akan menghantar laporan dengan lebih 15 syor itu, di mana ia akan diteliti oleh Putrajaya untuk melakukan perubahan dalam undang-undang pilihan raya sebelum PRU15.
Katanya, kesalahan dilaporkan ketika tempoh kempen pada PRK Port Dickson tidak begitu banyak, selain satu atau dua saja dilakukan tanpa calon ketahui ia menyalahi peraturan.
Naib presiden Bersatu itu berkata kerajaan PH tidak menyalahgunakan sumber seperti apa dilakukan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Tidak ada kempen di televisyen tentang kempen calon kerajaan. Kalau dulu, dari pagi ke petang sudah tentu ada.
“Sebelum ini ada banyak salah guna, mereka guna kemudahan kerajaan dan pembangkang tidak ada peluang langsung,” katanya.
Rashid menggesa orang awam membuat laporan polis jika melihat berlakunya kesalahan pilihan raya.
“SPR tidak ada kuasa. Mereka tidak boleh siasat atau kuat kuasa. Anda perlu buat laporan polis,” katanya.
Anwar bertanding tujuh penjuru bagi kerusi Port Dickson. Beliau melawan lima calon bebas – Mohd Saiful Bukhari Azlan, Isa Samad, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen – dan pesara tentera udara Mohd Nazari Mokhtar daripada PAS.
Kerusi Parlimen Port Dickson kosong selepas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah daripada PKR meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.
Ini selaras dengan rancangan PH untuk menjadikan Anwar perdana menteri dalam peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad.
Pada PRU14, Danyal memperoleh 36,225 undi, menewaskan calon BN Mogan Velayatham dan Mahfuz Roslan daripada PAS, dengan masing-masing menerima 18,515 dan 6,594 undi. – 12 Oktober, 2018.