Kertas Putih korupsi Felda akan dibentangkan di Parlimen, kata Azmin
Iklan
SATU Kertas Putih tentang korupsi Felda akan dibentangkan di Parlimen, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali malam ini.
Beliau yang bercakap pada ceramah kempen Anwar Ibrahim di Bagan Pinang, Port Dickson berkata Kabinet sudahpun bersetuju supaya beliau membentangkan Kertas Putih itu di Parlimen selepas pembentangan Bajet 2019.
“Kabinet memutuskan supaya kami telus kepada peneroka Felda dengan mencadangkan Kertas Putih untuk memberi penjelasan mengenai status kewangannya (Felda),” katanya.
Timbalan presiden PKR itu juga berkata kerajaan sudah melantik audit foresnik untuk menyiasat salah laku dalam Felda.
“Kementerian juga sudah melantik audit forensik supaya laporan lengkap akan dapat dibentangkan di Parlimen. Kami akan bentangkan pada sesi akan datang selepas Bajet 2019,” tambah Azmin lagi.
Salah seorang lawan Anwar di PRK Port Dickson ialah bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad yang terkait dengan skandal Felda tahun lepas. Beliau sebelum ini pernah ditahan dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi sehingga kini bertegas yang tiada kes terhadapnya.
Bekas orang kuat Umno itu bertanding atas tiket Bebas selepas parti Melayu itu memboikot PRK Port Dickson yang akan mengundi esok.
Azmin ketika ditanya mengenai penglibatan Isa dalam skandal Felda bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Saya tak berada dalam kedudukan untuk buat sebarang andaian ketika ini. Tunggu audit penuh untuk dibentangkan di Parlimen dan ahli Parlimen akan nilai,” katanya.
Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak itu turut berkata yang terdapat beberapa kes Felda sedang dalam siasatan SPRM tetapi sekali lagi enggan mengulas lanjut.
“Ada perkara bawah siasatan SPRM, jadi kami tak nak langgar sempadan (bidang kuasa) mereka.” – 12 Oktober, 2018.