Anwar jadi PM? Pengundi Port Dickson tentukan hari ini
Iklan
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson berlangsung hari ini selepas kempen selama 14 hari yang menyaksikan enam calon bersaing untuk menyekat Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
Kalangan pesaing ini juga kelihatan yakin akan menang dan tidak bersedia untuk memainkan peranan sebagai pembangkang andai gagal menghalang Anwar menyertai Parlimen semula.
“Kami mahu menang. Saya harap akan menang tetapi akhirnya pengundi di PD akan tentukan,” katanya yang mengaku tidak berasa tertekan walau bertanding sebagai Bebas kali ini.
Isa juga tidak dapat menjangka sekiranya ahli Umno seramai kira-kira 13,000 orang di Port Dickson itu akan menyokongnya kerana “tidak semuanya merupakan pengundi”.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga tidak mahu bercakap soal peratusan sokongan kerana tidak dibantu penganalisis yang boleh mengkaji peluangnya.
Sebaliknya, Isa menegaskan ahli Umno tahu beliau bertanding dan berharap mereka akan menyokongnya.
“Jadi saya hanya boleh beritahu perasaan saya. Jika semuanya berjalan lancar, pengundian tidak akan mengecewakan saya,” katanya ketika ditemui pada saat-saat akhir kempen semalam.
Kebimbangannya, seperti juga ramai pihak dalam PRK ini adalah sekiranya bumi Port Dickson akan terus dilanda hujan seperti beberapa hari lalu.
Sumber rasmi kerajaan menjangka hujan dijangka akan turun pada waktu petang.
Di sisi PAS pula, parti itu berharap akan dapat menarik undi dari dua kawasan Melayu, Linggi dan Bagan Pinang. Paling utama pengundi Linggi, yang ditandingi parti Islam itu pada 9 Mei.
“Di Linggi ada peluang,” kata Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah, wakil rakyat Kelantan yang memimpin jentera parti itu di Linggi.
Penganalisis menjangka, parti itu akan kecundang sekali lagi, malah turut kehilangan deposit.
Namun kempen PAS tidak juga surut. Dalam kempen peringkat akhir pada malam tadi, mereka membangkitkan isu nasional untuk memikat pengundi agar menolak Anwar, calon parti kerajaan.
Seorang lagi calon Bebas, Saiful Bukhari Azlan pula berkata beliau bersedia untuk menghadapi apa sahaja keputusan pilihan raya tersebut.
Pada awalnya beliau menyasarkan untuk meraih 30% undi, namun kini beliau tidak yakin.
Apa yang pasti, ini bukan kali terakhir baginya untuk bertanding dalam pilihan raya, kata Saiful kepada The Malaysian Insight.
“Saya masih lagi mengambil kira apa platform yang akan diambil. Ini pilihan raya pertama saya tanpa sebarang jentera, jadi saya realistik. Ini hanyalah permulaan dan bukan pengakhiran.
“Tapi saya mendapat satu undi daripada pengundi awal. Saya terima kertas undi dan ambil gambar. Itu petanda baik. Sekurang-kurangnya saya dapat satu undi sekarang,” katanya.
Satu-satunya calon wanita dalam pilihan raya kecil kali ini, Lau Sek Yan juga sudah bersedia untuk pengundian hari ini, walau tidak berjaya menemui ramai pemilih semasa kempen.
“Tapi saya harap mereka kenal saya daripada (liputan) media, daripada perbualan orang, dan yang melihat saya di jalanan.”
Walau tewas sekalipun, beliau akan tetap berkhidmat melalui kegiatan masyarakatnya, kata Lau.
Seorang lagi calon Bebas, Kan Chee Yuen pula menjangka beliau akan hilang deposit dan hanya mendapat sekitar 1,000 undi.
“Kekalahan adalah jangkaan yang logik. Tetapu ia bukan soal menang atau kalah. Ia peluang untuk memberitahu rakyat Malaysia bahawa kita perlukan kuasa ketiga dan pentingnya urus tadbir profesional,” katanya.
Beliau tidak mahu menjadi pembangkang dan berharap akan dapat menjadi perunding atau pemudah cara sekiranya diperlukan oleh kerajaan.
Seorang lagi calon Bebas, selebriti media sosial Stevie Chan dalam tulisan terakhir semasa tempoh kempen pada malam tadi berkongsi pandangan sinisnya ke atas kempen Anwar.
“Menteri dan segala-galanya turun untuk kempen terakhir. Ia lucu, jika ia bukan satu perkara serius. Selamat malam. Kita jumpa malam esok (semasa penjumlahan undi),” katanya.
Pengundian hari ini melibatkan seramai 68,317 pengundi melibatkan 154 saluran di kesemua 32 pusat mengundi di Chuah, Lukut, Sri Tanjung, Bagan Pinang dan Linggi.
Pusat pengundian akan dibuka pada jam 8 pagi dan ditutup 5.30 petang. – 13 Oktober, 2018.