Iklan

Saya tidak akan lupakan PD bila jadi PM nanti, kata Anwar

Kamles Kumar6 years ago13th Oct 2018Berita
By election port dickson anwar ibrahim 05
Pada ceramah terakhirnya malam tadi di Bagan Pinang, Anwar Ibrahim berjanji tidak akan mengabaikan rakyat Port Dickson bila menjadi perdana menteri nanti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 Oktober, 2018.
Iklan

PADA ceramah terakhirnya malam tadi, Anwar Ibrahim berjanji beliau tidak akan mengabaikan rakyat Port Dickson bila menjadi perdana menteri nanti.

Bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson hari ini, akan membuka laluan untuknya kembali ke Parlimen, dan Anwar meyakinkan pengundinya bahawa beliau akan mengutamakan rakyat di sini walaupun perlu menjaga negara, satu hari kelak.

“Saya juga tahu bila saya jadi perdana menteri, Port Dickson akan dijaga. Saya mahu mandat kuat daripada rakyat Port Dickson,” katanya pada program ceramah di Bagan Pinang, ketika menyampaikan ucapan terakhirnya.

Bakal presiden PKR itu juga menolak dakwaan saman tidak berbayar yang berlegar di media sosial baru-baru ini yang ditimbulkan oleh PAS dan calon bebas yang melawannya pada PRK ini.

“Saya ingin tegaskan bahawa dalam kempen ini, PAS dan calon bebas menyerang saya secara peribadi. Denda itu ketika saya dalam penjara. Ia sudah dibayar,” katanya.

Anwar bertanding tujuh penjuru di PRK itu. Beliau melawan lima calon bebas – Mohd Saiful Bukhari Azlan, Isa Samad, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen – dan pesara tentera udara Mohd Nazari Mokhtar daripada PAS.

Bekas timbalan perdana menteri itu malam tadi turut menyentuh tentang skandal Felda di Bagan Pinang, kawasan majoriti Melayu.

“Felda sebelum FGV ada lebihan RM8 bilion tetapi selepas itu RM8 pun mereka tidak ada. Itu bukan berniaga, itu dipanggil mencuri,” kata Anwar.

Pesaingnya, Isa adalah bekas pengerusi Felda yang pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Anwar Ibrahim turut meminta maaf kepada pengundinya jika tersinggung apabila beliau menggunakan kereta Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ketika lawatannya ke kem tentera ketika kempennya di Port Dickson baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2018.

Anwar berkata tidak sepatutnya ada pilih kasih antara menteri dan orang biasa terutama bila ia membabitkan tentang rasuah.

“Jika polis ambil RM50 itu rasuah tetapi jika menteri ambil RM500 juta itu dipanggil komisen. Itu bukan caranya,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut meminta maaf kepada pengundinya jika mengecilkan hati mereka apabila menggunakan kereta Menteri Pertahanan Mohamad Sabu ketika lawatannya ke kem tentera, yang mencetuskan kontroversi.

“Ini pilihan raya pertama di mana calon kerajaan pemerintah tidak menggunakan jentera dan aset kerajaan.

“Saya hanya pergi sekejap saja naik kereta Mat Sabu tetapi orang sudah bising. Saya minta maaf saya guna kereta dia,” kata Anwar.

Kerusi Parlimen Port Dickson kosong selepas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah daripada PKR meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar dalam cubaannya kembali ke Parlimen.

Ini selaras dengan rancangan Pakatan Harapan untuk meletakkan Anwar sebagai pengganti Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan perdana menteri.

Pada PRU14, Danyal memperoleh 36,225 menewaskan calon Barisan Nasional, Mogan Velayatham dan Mahfuz Roslan daripada PAS, yang masing-masing menerima 18,515 dan 6,594 undi. – 13 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan