Iklan

Anwar jangka lebih ramai mengundi di sebelah petang

Yvonne Lim6 years ago13th Oct 2018Berita
Port dickson by-election cast vote 20181013 tmihasnoor 019
Calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim menjangka jumlah pengundi keluar akan meningkat pada petang ini apabila para pekerja diberi kelepasan oleh majikan untuk keluar mengundi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Oktober, 2018.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) akan turun ke setiap kampung dan setiap rumah hari ini untuk memastikan sasaran jumlah keluar mengundi 70% dicapai, kata calonnya Anwar Ibrahim.

Beliau juga menjangka jumlah keluar mengundi akan meningkat pada petang ini apabila para pekerja diberi kelepasan oleh majikan untuk keluar mengundi.

Katanya, jumlah keluar mengundi rendah pada pagi ini kerana ramai pengundi yang bekerja di hotel dan kilang hanya dapat keluar mengundi selepas jam 2 petang.

“(Jumlah keluar mengundi) rendah daripada yang dijangka. Tapi kita merayu kepada pengundi secara terus. 

“Kami akan pergi ke kampung, setiap rumah dan merayu kepada mereka untuk keluar mengundi.

“Tentulah (ada masa), masih ada kira-kira empat jam lagi. Jentera kami ada di kampung-kampung,” katanya ketika ditemui di Chuah pada kira-kira jam 1 petang.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan jumlah keluar mengundi pada jam 1 petang adalah sekitar 40%.

Terdahulu pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata sasaran 70% mungkin mustahil memandangkan peratusan itu masih rendah, pada tahap 24% setakat jam 11 pagi. – 13 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan