Orang Umno asak Anwar, apa sebab tanding Port Dickson?
Iklan
SEORANG penyokong Umno mengasak Anwar Ibrahim menjelaskan tujuan bertanding pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson ketika dikunjungi calon Pakatan Harapan (PH) di sebuah pusat pengundian di Chuah.
Dalam pertembungan selama beberapa minit itu, wanita berkenaan mendesak demikian kerana keliru untuk membuat pilihan memandangkan kerajaan sudah bertukar.
“Mak kita kata pilih ini, ini yang baik. Tapi bila jadi macam ini, saya keliru, betul ke tak betul. Kita ikut warisan dari dulu, dah berapa puluh tahun kita pegang kepada Umno.
“Tapi sekarang kerajaan kita dah tukar, kita yang separuh umur ini terawang-awang,” katanya ketika ditemui selepas itu.
Pengundi berkenaan, yang tidak mahu memperkenalkan dirinya berkata, Anwar seterusnya menyatakan ikrar untuk melaksanakan janji apabila dipilih menjadi ahli Parlimen.
“Dia kata nak kotakanlah apa yang dia janji,” katanya yang masih tidak berpuas hati kerana menurutnya Anwar tidak berkunjung ke masjid di Chuah.
Katanya, beliau tetap mahu penjelasan kerana selama ini Mohd Isa Samad yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan dan pemimpin kanan Umno negeri, yang kini bertanding Bebas.
“Makcik cuma hendak kepastian, kerana dia orang luar… Sedangkan Mat Isa orang sini,” katanya lagi kepada The Malaysian Insight. – 13 Oktober, 2018.