Isa tidak harap undi luar, ramal jumlah keluar mengundi 50%
Iklan
CALON Bebas, Mohd Isa Samad berkata jumlah keluar mengundi di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson kali ini tidak akan memberi perbezaan kepada jumlah undi.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata beliau yakin jumlah keluar mengundi akan hanya sekitar 50% hari ini.
“Paling tinggi 50%. Bagi saya, ia tidak akan memberi sebarang perbezaan sama ada ia jumlah yang keluar baik atau tidak,” kata Isa kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Teluk Kemang.
Bekas veteran Umno itu menambah pengundi luar negeri tidak akan balik mengundi untuk PRK kerana ia hanya lima bulan selepas pilihan raya umum.
“Kebanyakan orang tidak akan balik untuk mengundi,” kata Isa.
Bagaimanapun, bekas pengerusi Felda itu tidak menolak peluangnya untuk merampas kerusi Parlimen berkenaan daripada calon pilihan daripada Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim.
“Saya rasa ia tidak mengapa. Saya yakin,” kata Isa.
Isa, 68, mewakili Bagan Pinang dari 2009 hingga 2013. Sebelum itu, beliau adalah wakil Linggi dari 1978 hingga 2004.
Beliau adalah menteri besar negeri ini dari 1982 hingga 2004.
Ilham Center menilai Isa sebagai pesaing hebat kepada Anwar berbanding lima calon lain yang bertanding.
“Beliau jelas masih berpengaruh di kerusi negeri Bagan Pinang dan Linggi,” kata Ketua Eksekutif Ilham Center, Mohd Azlan Zainal mengenai kelebihan Isa.
Sehingga pukul 2 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya melaporkan jumlah pengundi yang keluar berada pada tahap 44%. – 13 Oktober, 2018.