Iklan

Anwar menang besar kerana tiada pencabar sebenar, kata penganalisis 

Mohd Farhan DarwisKamles Kumar6 years ago14th Oct 2018Berita
By election port dickson anwar ibrahim 05
Banyak kelebihan berpihak kepada calon PH Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Port Dickson yang menyaksikan kemenangan Anwra denan majoriti lebiih besar berbanding PRU14.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Oktober, 2018
Iklan

KEPUTUSAN pilihan raya kecil Port Dickson menunjukkan undi ahli Umno di kerusi Parlimen berkenaan terpecah kepada beberapa kelompok berikutan keputusan parti Melayu itu memboikot pilihan raya berkenaan, kata penganalisis.

Tanpa lawan yang benar-benar kuat, Anwar Ibrahim berjaya memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan majoriti lebih besar dengan 23,560 undi, berbanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, iaitu 17,710 undi.

Pengarah Program Merdeka Center Ibrahim Sufian, berkata, calon bebas yang kekurangan jentera juga memberikan kelebihan kepada Anwar.

“Pengundi Umno pula tidak membantu Isa Samad, mereka sama ada memilih PAS atau tidak keluar mengundi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Calon Pakatan Harapan Anwar Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dengan majoriti lebih bersar berbanding PRU 14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 14 Oktober, 2018

Isa merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun yang bertanding sebagai calon bebas selepas keluar Umno.

Isa terpaksa berpuas hati apabila hanya menerima 4,230 undi.

Azlan juga berkata, walaupun Isa mempunyai pengaruh di Port Dickson, ia belum mampu menarik sokongan kerana pola pengundian berorientasikan parti.

“Sokongan kepada Isa tidak diterjemah kepada undi dan hanya memperoleh sokongan penyokong tegar, wujud protes dikalangan ahli Umno terutama dikalangan pengundi muda,” kata Azlan.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Ilham Center Azlan Zainal berkata, keputusan malam tadi menunjukkan PAS mempunyai pengundi yang konsisten ditambah undi daripada tentera.

“Pengundi PAS konsisten dan keluar mengundi. Undi PAS kekal sepertimana PRU14 dan ditambah dengan undi tentera yang dahulu mengundi Barisan Nasional (BN) memberi sedikit kelebihan kepada PAS,” katanya. 

PAS bagaimanapun katanya gagal menarik undi Umno yang signifikan walaupun kerjasama politik terjalin dengan parti itu bermula selepas PRU14.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM) Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, undi yang diterima calon PAS bukan atas dasar parti itu sebaliknya personaliti calon mereka Mohd Nazari Mokhtar.

“Calon PAS dilihat bersih walaupun calon luar, calon yang ada integriti dan tiada skandal. Sebab itu daripada undi tentera PAS dapat undi kedua tertinggi. Ini menunjukkan faktor calon, bukan parti,” katanya.

Kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Port Dickson turut memberi kelebihan kepada Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018

Nazari merupakan veteran tentera udara berpangkat leftenan kolonel. Beliau memperolehi 7,456 undi.

Calon bebas lain seperti Stevie Chan, memperolehi 337 undi,  Lau Seck Yan, 214, Saiful Bukhari Azlan, 82, dan Kan Chee Yuen,154. Manakala sejumlah 598 undi ditolak.

Anwar dijangka mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Port Dickson Isnin depan ketika sidang Parlimen bermula.

Penganalisis Universiti Utara Malaysia (UUM) Azizuddin Sani tidak menolak kebarangkalian kehadiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi kesan kepada Anwar. 

Azizuddin berkata, kempen Anwar sebagai perdana menteri kelapan juga memberi kelebihan untuk pengundi memilih pemimpin PKR itu.– 14 Oktober, 2018

Iklan
Iklan