Iklan

Pendedahan isu Wisma MCA bakal pengaruhi sesi pemilihan parti

The Malaysian Insight6 years ago15th Oct 2018Berita
Iklan

SELEPAS hampir ditolak sepenuhnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), MCA akan mengadakan pemilihan parti pada bulan depan dan sesi penamaan calon diadakan pada hari ini.

Bekas naib presiden Yap Pian Hian, bekas pengerusi jawatankuasa MCA Selangor Wai Theng Book dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lim Choon Kin akan mengadakan sidang media bersama pada hari penamaan calon, sekali gus membayangkan sesi pemilihan yang sengit.

Sidang media itu dijadualkan berlangsung pada pukul 11 pagi manakala sesi penamaan pada pukul 2 petang.

Perkara lain yang dijangka dibangkitkan pada sidang media itu adalah projek pembangunan semula ibu pejabat parti, tetapi ketiga-tiga bekas pemimpin itu enggan mengulas lanjut tentang hal tersebut.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa sidang media itu akan mendedahkan konflik yang berlaku dalam pucuk pimpinan parti ketika ini berhubung pembangunan semula Wisma MCA.

“Saya tidak mempunyai maklumat penuh. Saya hanya tahu mereka akan mendedahkan hal yang berkaitan dengan pembangunan semula Wisma MCA, terutamanya bagaimana projek itu diluluskan oleh dua pemimpin tertinggi tanpa melalui kepimpinan pusat,” katanya.

Sumber itu berkata Yap, Lim dan Wai memperoleh bukti dan akan mendedahkan hal tersebut serta mahu pucuk pimpinan yang terlibat memberi penjelasan.

September lalu, portal The Edge Property melaporkan bahawa Wisma MCA di Jalan Ampang akan dibangunkan semula menjadi sebuah menara 70 tingkat yang memiliki hotel dengan anggaran kos RM1 bilion.

MCA akan mengadakan pemilihan parti pada November ini untuk memilih pucuk pimpinan baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Oktober, 2018.

Laporan itu menyebut pada 23 Julai lalu, MCA merancang membangunkan semula wisma setinggi 23 tingkat itu termasuk membina lapan tingkat tempat letak kereta bawah tanah, sebuah hotel dilengkapi 328 bilik melibatkan 28 tingkat.

Turut dibina adalah restoran di tingkat 68 dan 69 manakala baki tingkat yang lain akan digunakan sebagai ruang pejabat.

Pihak berkuasa tempatan telah meluluskan pelan pembinaan itu pada 2 Ogos lalu.

Seorang lagi pemimpin parti itu berkata ahli MCA tidak dimaklumkan langsung tentang pelan pembangunan semula itu.

“Sebelum media melaporkan hal ini, kita langsung tidak tahu..projek ini melibatkan kos RM1 bilion, sekali gus membuatkan kami terkejut.

“Kenapa perlu melaksanakan pembangunan semula? Siapa akan membiayai kos projek ini? Adalah MCA akan memiliki seluruh bangunan apabila ianya siap? Kami mempunyai banyak persoalan, jadi lebih baik ada pemimpin lain yang mula mendapatkan penjelasan bagi ahli parti ini,” katanya.

Wisma MCA dibina pada 1975 sebagai sebahagian usaha ‘Lima pelan utama’ bekas presiden parti Lee San Choon untuk parti itu. Bagi menghargai jasa Lee terhadap parti, MCA turut menamakan dewan utama di wisma tersebut sebagai Dewan San Choon.

Pada 1987, Wisma MCA dibebani hutang yang besar dengan pihak bank. Ini disebabkan masalah kekurangan dana untuk pembinaan bangunan itu, menyebabkan Wisma MCA dicagarkan dengan harga RM25 juta bagi proses pembinaan dan pengubahsuaian.

Bagaimanapun kelembapan ekonomi menyebabkan hutang MCA bertambah pada 1987 dan pihak bank sudah bersedia mengambil-alih Wisma MCA.

Bagi mengelakkan kehilangan ibu pejabat parti, MCA terpaksa mengutip derma di seluruh negara dan berjaya mengumpul sebanyak RM19 juta.

Parti itu juga menjual 49% saham bangunan kepada Koperasi Serbaguna Malaysia dengan nilai RM20.7 juta dan membayar hutang dengan pihak bank sepenuhnya. – 15 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan