Ahli Parlimen antara 8 dikompaun kerana merokok di zon larangan

Iklan
LAPAN kompaun dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kesalahan merokok di bangunan Parlimen semalam, termasuklah seorang ahli Parlimen.
Bagaimanapun, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mendedahkan identiti ahli Parlimen tersebut.
Menurut KKM, pelaksanaan larangan yang dikuatkuasa di tiga zon iaitu Ruang Telaga Udara, kafeteria blok utama, tempat rehat ahli Parlimen itu turut digunapakai terhadap penggunaan vape.
Semalam, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, mulai semalam, sudut merokok dan tempat makan di dalam bangunan Parlimen diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.
Beliau berkata langkah itu dilaksanakan secara serius mengikut peraturan bagi menjadikan keseluruhan kawasan berkenaan sebagai bebas merokok.
Kesalahan ini tertakluk di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
Individu yang merokok di tempat larangan boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM500 dan jika gagal dijelaskan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua bulan atau kedua-duanya sekali.
Pada masa sama, Dr Dzulkefly berkata kerajaan bertegas untuk tidak membenarkan pengusaha restoran menyediakan ruang merokok di premis mereka.
“Semangat nak hentikan rokok dalam restoran. Justeru, tiada kawasan merokok di situ kerana ada yang tidak merokok dan mereka akan terseksa.
“Dan bagi pekerja yang bukan perokok, mereka akan menghidu asap dari rokok tersebut.
“Kalau kita mengizinkan (ruang merokok), kita kembali kepada ruang passive smoking yang memudaratkan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian susulan keluhan pengusaha restoran yang berkata pelaksanaan itu akan menjejaskan bilangan pelanggan mereka.
Sebelum ini, KKM mengisytiharkan semua restoran termasuk gerai dan warung di tepi jalan seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Januari 2019. – 16 Oktober, 2018.