Kejatuhan ketibaan pelancong China cetus resah industri
Iklan
KERESAHAN wujud dalam kalangan pemain industri pelancongan selepas kejatuhan antara 30% hingga 35% ketibaan pelancong China ke negara ini pada minggu pertama Oktober yang selalunya mencatatkan jumlah pelancong tinggi negara itu.
Tempoh ini yang juga dikenali sebagai “Golden Week” jatuh pada musim cuti panjang selepas sambutan hari kemerdekaan negara itu pada 1 Oktober.
Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (Mita) Jason Ow Yeang memberitahu The Malaysian Insight yang dianggarkan terdapat 100,000 pelancong China melawat Malaysia pada minggu pertama Oktober tahun lepas. Jumlah itu bagaimanapun jatuh kepada kurang 70,000.
Ow Yeang berkata kejatuhan angka ini mungkin disumbangkan oleh faktor perubahan kerajaan di Putrajaya.
“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, hampir dua bulan masa diambil untuk menyempurnakan pembentukan Kabinet, dengan banyak kementerian tiada menteri, menyebabkan banyak keputusan tak boleh diambil ketika tempoh peralihan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Menteri baharu juga perlukan masa untuk belajar selok belok dan kerajaan baharu sibuk menyiasat amalan silam, menyebabkan tempoh ketidaktentuan dalam pentadbiran jadi lebih panjang.
“Disebabkan kelewatan itu, Malaysia terlepas peluang menarik pelancong China ketika musim cuti mereka. Mereka yang berada dalam industri pelancongan menganggarkan ketibaan pelancong China jatuh antara 30% hingga 35% berbanding tempoh sama tahun lepas,”
Ow Yeang berkata tidak ada promosi pelancongan dilakukan kerana kerajaan baharu memerlukan masa untuk peralihan, menambah yang Menteri Pelancongan Mohammadin Ketapi pula hanya mengangkat sumpah Jun lalu.
Katanya, wujud juga persaingan sengit dari Indonesia dan Thailand yang menyumbang kepada kejatuhan ketibaan pelancong dari China.
Ow Yeang berkata lawatan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke China Ogos lalu pula banyak tertumpu kepada projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan perjanjian paip gas berbanding mempromosi pelancongan.
“Lawatan Dr Mahathir mungkin dilakukan tergesa-gesa bagi menangani kebimbangan China berkaitan projek berkaitan mereka yang sekarang disemak semula, dan pelancongan mungkin terlepas pandang,” katanya.
Perdana menteri baru-baru ini menafikan yang semakan projek adalah sebab kejatuhan pelancong China ke Malaysia.
Beliau bagaimanapun mengakui yang jumlah ketibaan pelancong China jatuh. Beliau juga mengumumkan semakan syarat pemberian visa kepada warga China termasuklah menurunkan yuran permohonan dan mempercepatkan proses kelulusan.
Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan Cina Malaysia Jackson Thian juga bersetuju yang semakan projek mega dengan China bukanlah sebab jumlah ketibaan pelancong dari negara itu jatuh.
“Ia tak beri kesan kepada orang biasa di sana. Jadi ini bukanlah sebab kejatuhan pelancong dari China,” katanya.
Thian menyifatkan situasi itu berlaku kerana dasar kerajaan China kini yang mempromosi pelancongan domestik.
“Ramai antara mereka sekarang yang melancong dalam negara yang lebih murah,” katanya.
Seperti Ow Yeang, Thian juga mencadangkan Putrajaya supaya mempertimbangkang lebih banyak pengecualian kepada pelancong China seperti perjalanan bebas visa.
Langkah itu dilakukan Myanmar untuk pelancong China bagi berdepan musim Golden Week pada Oktober yang menyaksikan jumlah pelancong China ke negara itu naik hampir dua kali ganda.
Sementara itu, lapangan terbang di lima destinasi tumpuan pelancong di Thailand- Bangkok, Don Muang, Chiang Mai, Phuket dan Hat Yai- semuanya mempunyai laluan khas untuk pelancong China.
Menurut laman pelancongan China, fliggy.com, Malaysia adalah destinasi ketujuh paling popular dalam kalangan pelancong China, jatuh satu anak tangga berbanding tangga keenam tahun lepas.
Persaingan negara Asia Tenggara lain seperti Filipina dan Vietnam juga tidak boleh dipandang enteng memandangkan kedua-dua negara itu baharu sahaja memasuki senarai 10 destinasi pilihan tahun ini.
Ow Yeang berkata negara seperti Thailand, Jepun dan Korea Selatan pantas bertindak untuk menarik pelancong China dengan memberikan mereka beberapa pengecualian dan layanan istimewa.
20 destinasi paling banyak dilawati pelancong China pada Golden Week tahun ini ialah Thailand, Jepun, Hong Kong, Vietnam, Singapura, Taiwan, Korea Selatan, Indonesia, Malaysia, AS, Rusia, Cambodia, Australia, Kanada, Turki, Filipina, UAE, Maldives dan Perancis. – 18 Oktober, 2018.