Kerajaan tak harus korban peradaban Malaysia walau terima pelaburan China
Iklan
KERAJAAN tidak seharusnya mengorbankan peradaban dan kebudayaan Malaysia semata-mata kerana menerima pelaburan dari China, kata Pengerusi Institut Kesedaran Rakyat Abdul Rahman Maidin.
Sebaliknya beliau berkata kerajaan seharusnya berbangga dengan peradaban Malaysia walaupun ia masih baru.
“Malaysia ini sebuah negara yang masih merdeka, masih berdaulat.
“Walaupun negara kita masih baru, peradaban dan kebudayaan sudah disemai kepada rakyat sejak negara merdeka 60 tahun dulu,” kata Rahman yang pernah memimpin Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) kepada The Malaysian Insight.
Bekas pengerusi eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) itu mengulas mengenai majlis pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Rabu yang dikatakan tidak mencerminkan budaya Malaysia.
Rahman berkata seharusnya kerajaan yang diberikan mandat untuk memimpin negara menjadi pelindung kepada peradaban dan kebudayaan rakyat di negara ini.
“Kita tidak menolak bahasa lain seperti bahasa China iaitu Mandarin, tetapi majlis pelancaran ECRL itu dilakukan di Malaysia dan seolah-olah rakyat di negara ini sudah tidak lagi mempunyai jati diri lagi.
“Rakyat seharusnya menunjukkan kebencian terhadap sikap yang menceroboh peradaban dan kedaulatan Malaysia di negara ini,” katanya.
Sebelum ini kumpulan pendesak hak Melayu Perkasa turut mengecam majlis pecah tanah ECRL kerana memperlihatkan Malaysia seperti sudah dijajah.
“Satu bendera Malaysia pun tidak ada. Apakah tidak dibenarkan bendera Malaysia diletak atau digantung untuk majlis itu?
“Lebih malang lagi pengacara majlis berbahasa Mandarin kemungkinan dibawa dari China.
“Permulaan penafian Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan,” kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali.
Sementara itu, intelektual Melayu terkemuka Dr Kassim Ahmad berkata imej Malaysia perlu sentiasa ditonjolkan walaupun di majlis yang melibatkan pelabur asing.
“Sepatutnya majlis itu menggunakan bahasa Malaysia, bahasa Melayu. Lebih baik lagi kalau kita tonjolkan bahasa lain dalam negara kita seperti Mandarin dan Tamil.
“Barulah mencerminkan kebudayaan Malaysia,” kata Kassim yang baru saja dibebaskan daripada dakwaan menghina Islam baru-baru ini.
Kassim pada masa sama turut mengkritik penggunaan “bahasa rojak” yang sering kali digunakan dalam drama tempatan.
“Kita harus menggunakan bahasa kita dengan betul.
“Ini tidak, dalam drama Melayu ni selalu gunakan bahasa campuran seperti Melayu campur Inggeris,” katanya.
Perdana Menteri Najib Razak pada Rabu merasmikan majlis pecah tanah projek ECRL di Kuantan dan berkata ia pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia kerana paling utama ia akan memendekkan masa perjalanan pergi dan balik ke pantai timur Semenanjung.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Majlis Negara China Wang Yang, Pengarah Eksekutif dan Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Liu Qitao dan Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Mohd Irwan Serigar Abdullah serta tiga menteri besar negeri Pantai Timur. – 11 Ogos, 2017.